Osman sudah mengadap dan berbincang mengenai cadangan membina loji rawatan air kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.
Osman sudah mengadap dan berbincang mengenai cadangan membina loji rawatan air kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.
Mohd Fahmi Mohd Yusof


JOHOR bersedia mengurangkan kebergantungan membeli air terawat daripada Singapura apabila bakal memiliki Loji Rawatan Air (LRA) sendiri dalam tempoh tiga tahun.

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian, berkata ketika ini tiga syarikat tempatan berminat dan sudah berjumpa dengan kerajaan negeri bagi merealisasikan perkara itu, semalam.

“Semua syarikat berkenaan mempunyai kemahiran dan berpengalaman dalam membina LRA dan kos yang mereka cadangkan juga berpatutan.

“Saya juga sudah mengadap dan berbincang mengenai cadangan ini kepada Tuanku (Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar), Tuanku pun tidak menyatakan bantahan dan memberi laluan kepada kerajaan negeri melaksanakannya,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Johor Bahru, hari ini.

Osman berkata, beliau bagaimanapun tidak dapat memperincikan butiran syarikat itu berikutan masih ia masih dalam peringkat perbincangan.

“Kerajaan negeri sememangnya berusaha mencari idea dan berkongsi dengan Kerajaan Persekutuan terutama dalam usaha membabitkan kedaulatan negeri yang pastinya akan dipelihara sebaik mungkin,” katanya.

Menyentuh Sesi Pemukiman Kerajaan Johor Bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan juga barisan Menteri Kabinet di Putrajaya, awal bulan lalu Osman berkata kerajaan negeri merancang untuk tidak lagi mendapatkan bekalan air terawat dari Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 7:10 PM