MUHAMAD (kanan) menyerahkan tag nama kepada Ahmad Afizfaiz (tengah) sambil diperhatikan Dr Ajura Abdul Jalil (kiri) di rumahnya di Bandar Baru Bangi, Selangor, hari ini. FOTO Ihsan UMP
MUHAMAD (kanan) menyerahkan tag nama kepada Ahmad Afizfaiz (tengah) sambil diperhatikan Dr Ajura Abdul Jalil (kiri) di rumahnya di Bandar Baru Bangi, Selangor, hari ini. FOTO Ihsan UMP
Shahrul Nizam Mohamad


“JIKA arwah suami masih ada, pasti dia gembira melihat anaknya berjaya melangkah masuk ke universiti," kata Dr Ajura Abdul Jalil, 48, isteri kepada Allahyarham Roslan Ismail yang meninggal dunia akibat lemas bersama anaknya, Ahmad Azrifaiz di Sungai Langat, Selangor, 26 Ogos lalu.

Beliau yang bertugas sebagai pakar patologi mulut Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah, berkata anak sulungnya, Ahmad Afizfaiz, 19, dipilih mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) di Universiti Malaysia Pahang (UMP).

“Saya berharap Ahmad Afizfaiz akan belajar bersungguh-sungguh dengan cemerlang dan menjadi contoh buat adik-adiknya serta membanggakan keluarga.

“Saya sangat menghargai keprihatinan UMP dalam membantu urusan pendaftaran anak dengan datang ke rumah pada hari ini,” katanya selepas menerima lawatan rombongan UMP untuk mendaftarkan anaknya di kediaman mereka di Bandar Baru Bangi, Selangor.

Rombongan itu terdiri daripada Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMP Dr Muhamad Mat Noor bersama Eksekutif Kanan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Azlina Abdul Mubin.

Ahmad Afizfaiz sepatutnya mendaftar di UMP, esok dan perlu mengikuti Minggu Induksi Siswa, namun memohon pelepasan memandangkan masih ada urusan keluarga perlu diselesaikan sekali gus hanya dapat melapor diri pada Rabu atau Khamis depan.

Sementara itu, Dr Muhamad berkata, pihaknya cakna bagi mengurangkan beban mahasiswa dan keluarga untuk hadir mendaftar selain menyediakan kemudahan penginapan serta pengangkutan ke universiti bagi bakal penuntut memerlukan.

“Selain itu ada juga Insentif Pendidikan UMP bagi pelajar kurang berkemampuan dan miskin serta Anugerah Kecemerlangan MyGift kepada mahasiswa cemerlang yang terpilih dengan pembiayaan biasiswa penuh sehingga tamat pengajian,” katanya.

Dalam kejadian itu, Roslan, 49, dan Ahmad Azrifaiz, 18, lemas selepas dipercayai terjatuh dalam sungai ketika memancing, dan selang tiga hari kemudian ibu kepada Ajura iaitu Esah @ Aishah Talib, 75, pula meninggal dunia.

Berita berkaitan

[UPDATE] Saksi terkilan gagal selamat mangsa

Dua beranak ditemui lemas [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 September 2018 @ 4:24 PM