DR Ajura (tengah) berada di lokasi suami dan anaknya ditemui lemas ketika memancing di Sungai Langat berhampiran Taman Bangi Perdana, Bandar Baru Bangi, hari ini. Gambar kecil Roslan (kiri) dan Azrifaiz. FOTO Sairien Nafis
DR Ajura (tengah) berada di lokasi suami dan anaknya ditemui lemas ketika memancing di Sungai Langat berhampiran Taman Bangi Perdana, Bandar Baru Bangi, hari ini. Gambar kecil Roslan (kiri) dan Azrifaiz. FOTO Sairien Nafis
Nor Azizah Mokhtar


“DARI jauh saya nampak kedua-duanya terkapai-kapai lalu terus berlari ke arah mereka, namun dua beranak itu sudah tenggelam apabila saya sampai. Saya kemudian menjerit memanggil rakan untuk membantu, tetapi sudah terlambat.”

Begitu kata Rashidi Yahya, 35, saksi kejadian lemas yang mengorbankan dua beranak di Sungai Langat berhampiran Taman Bangi Perdana, Bandar Baru Bangi, hari ini.

Menurut Rashidi, ketika itu dia baru sahaja lima minit sampai ke sungai itu pada jam 9.40 pagi untuk memancing bersama dua rakan dari Balakong.

Katanya, dia berada dalam jarak kira-kira 100 meter daripada mereka dan sedang berdiri di tempat berbatu di tengah sungai, manakala abangnya serta seorang rakan berada di lokasi lain yang agak jauh.

“Pada mulanya saya ingatkan mereka sedang berenang kerana tidak terdengar sebarang jeritan meminta tolong sebelum saya sedar mereka sedang lemas.

“Saya rasa terkilan kerana tidak dapat membantu menyelamatkan mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Katanya, mereka kemudian mengambil keputusan untuk menelefon talian kecemasan bagi melaporkan kejadian itu.

Sementara itu, Dr Ajura Abdul Jalil, 48, isteri kepada Roslan Ismail, 49, yang lemas dalam kejadian terbabit memaklumkan suaminya kerap memancing di sungai berkenaan jika ada kelapangan terutama pada cuti hujung minggu.

“Biasanya suami saya pergi memancing berseorangan, tetapi kali ini anak kedua ikut sekali.

“Suami saya keluar memancing jam 8 pagi tadi sebelum anak saya beritahu nak keluar untuk melihat ayahnya memancing kira-kira sejam selepas itu.

“Itu memang pertama kali dia mengikut suami memancing... tak sangka ia akan jadi yang terakhir,” katanya yang kelihatan tenang.

Pakar pergigian di sebuah hospital di Kota Kinabalu, Sabah memaklumkan ketika kejadian dia berada di rumah berhampiran lokasi dan hanya mengetahui insiden menimpa suami dan anaknya selepas dimaklumkan oleh beberapa jiran.

Dalam kejadian jam 10 pagi, Roslan dan anak keduanya, Ahmad Azrifaiz, 18, lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Langat ketika sedang memancing.

Mayat dua beranak itu ditemui pada jam 1.52 tengah hari dan 2.20 petang selepas pasukan bomba melakukan pencarian lebih dua jam di lokasi kali terakhir mereka dilihat.

Berita berkaitan

Dua beranak ditemui lemas

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Ogos 2018 @ 7:20 PM