DR Mansur menyampaikan sumbangan kepada ibu Uqail Iskandar, Mazayana Abdullah, semalam. FOTO Ihsan UMP.
DR Mansur menyampaikan sumbangan kepada ibu Uqail Iskandar, Mazayana Abdullah, semalam. FOTO Ihsan UMP.
Asrol Awang


Kuantan: Prihatin dengan nasib Uqail Iskandar Zulkernain yang masih hilang selepas dihanyutkan banjir kelmarin, Universiti Malaysia Pahang (UMP) tampil memberi sokongan kepada keluarga penuntut itu.

UMP diwakili Dekan Pembangunan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumninya, Prof Madya Dr Mansur Sulaiman hadir menziarahi keluarga Uqail Iskandar, 23, di sini, semalam dan turut menyampaikan sumbangan.

Sumbangan disampaikan kepada ibu Uqail Iskandar, Mazayana Abdullah.

Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman dalam kenyataan berkata, seluruh warga universiti itu mengucapkan takziah buat keluarga Uqail Iskandar dan mendoakan mahasiswa Fakulti Komputeran UMP itu ditemui segera.

"Kita berdoa Uqail yang masih hilang segera ditemui sekali gus meredakan tekanan dan kesedihan yang sedang dihadapi keluarga.

"Lain-lain bantuan akan menyusul dan UMP akan sentiasa memastikan kebajikan pelajar dan sokongan emosi buat keluarga terutama berdepan dengan situasi sukar seperti ini," katanya.

Menurutnya, UMP menggerakkan usaha membantu mangsa banjir terutama dalam kalangan penuntutnya dan kakitangan melalui Jawatankuasa Bertindak Bencana UMP.

Dalam kejadian kelmarin, Uqail Iskandar hilang selepas dihanyutkan banjir ketika mengharung air bersama bapa, Zulkernain Itam, 58, dan dua adiknya dekat Kampung Gintong, Jerantut.

Bagaimanapun, Zulkernain ditemui lemas, manakala dua adik Uqail Iskandar terselamat.

Berita berkaitan

Bapa korban banjir pertama, anak masih hilang

SAR belum temui petunjuk keberadaan Uqail Iskandar

'Abah lemas selamatkan abang'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2021 @ 11:16 AM