BERNAMA

JENAZAH bekas pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Sungai Acheh, Nibong Tebal, 5.30 petang hari ini.

Jenazah tiba di tanah perkuburan berkenaan pada 4 petang diiringi kira-kira 1,000 orang terdiri daripada anggota keluarga, sahabat handai dan rakan seperjuangan Allahyarham daripada Barisan Nasional sebelum disembahyangkan selepas solat Asar.

Isteri Allahyarham, Datin Seri Siti Nur Syafiqa Amirol Melvin berkata, anggota keluarga dan masyarakat pasti akan merindui arwah suaminya itu kerana beliau seorang yang baik dan banyak berjasa kepada orang ramai.

"Arwah seorang bapa yang baik dan bertanggungjawab… walaupun sibuk macam mana sekali pun arwah akan pastikan malam beliau akan berada di rumah bersama keluarga.

“Banyak jasa arwah pada orang dan arwah juga banyak bersedekah. Memang arwah akan dirindui," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediaman bapa Allahyarham, di Nibong Tebal, hari ini.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Allahyarham ialah Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa; bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd Johari Baharom dan barisan kepimpinan UMNO Pulau Pinang serta masyarakat setempat.

Zainal Abidin, 58, yang juga bekas Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah meninggal dunia di Hospital Ampang, Selangor pada 2.07 pagi, hari ini akibat kanser berkaitan darah (multiple myeloma).

Siti Nur Syafiqa berkata, kali terakhir beliau bercakap dengan arwah suaminya itu pada Ahad dan Isnin lalu.

"Arwah boleh bercakap cuma tidak boleh bercakap lama sebab keadaannya yang penat kerana jangkitan kuman. Jadi, doktor perlu letak sedatif untuk tidurkan dan stabilkan arwah. Semalam tekanan darah arwah turun dan beliau pergi dengan aman," katanya.

Ditanya sama ada Allahyarham ada memberi apa-apa pesanan, beliau berkata arwah suaminya itu tidak sempat meninggalkan pesanan, namun beliau sempat memohon maaf kepada arwah sebelum Allahyarham ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang kerana keadaannya yang semakin lemah.

Siti Nur Syafiqa berkata, arwah suaminya itu seorang yang optimistik walaupun disahkan menghidap kanser awal tahun ini dan positif dalam mengikuti rawatan yang disaran doktor.

Sementara itu, Mujahid menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang terbuka dan mudah untuk dibawa berbincang walaupun berbeza fahaman politik.

Beliau berkata masyarakat terutamanya rakyat Pulau Pinang akan merasai kehilangan Allahyarham yang banyak menabur bakti dan berjasa sepanjang hayatnya.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak serta empat orang anak hasil perkahwinan pertama dengan Allahyarham Datin Shazarina Shamsuddin yang meninggal dunia pada 22 Dis 2010 akibat kanser hati.

Pada 6 Jun lalu, Zainal Abidin mengumumkan melepaskan jawatan sebagai pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Ogos 2018 @ 9:07 PM
SITI Nur Syafiqa menyiaram air mawar diatas pusara arwah suaminya di Tanah Perkuburan Islam Masjid Sungai Acheh, Nibong Tebal. FOTO Ramdzan Masiam
SITI Nur Syafiqa menyiaram air mawar diatas pusara arwah suaminya di Tanah Perkuburan Islam Masjid Sungai Acheh, Nibong Tebal. FOTO Ramdzan Masiam