Zamrose menyerahkan bendera kepada isteri Allahyarham Nor Aqila Syafiqa, sebagai tanda penghormatan terakhir. FOTO IZAD THAQIF HASSAN
Zamrose menyerahkan bendera kepada isteri Allahyarham Nor Aqila Syafiqa, sebagai tanda penghormatan terakhir. FOTO IZAD THAQIF HASSAN
Izad Thaqif Hassan


Sungai Petani: Anggota tentera yang lemas ketika menjalani latihan Eksesais Para Predator, Mohamad Azrin Mohamad Isa, dinaikkan pangkat Koperal berkuatkuasa serta-merta.

Kenaikan pangkat Allahyarham diumumkan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zin selepas istiadat pengebumian selesai dilaksanakan, hari ini.

Zamrose berkata, sebagai menghargai khidmat Allahyarham, Tentera Darat Malaysia (TDM) memberi anugerah pangkat secara 'Posthumous' kepada arwah.

"Kita sentiasa mengambil berat kebajikan setiap anggota terutama yang terkesan dengan insiden kemalangan atau kematian.

"Tidak kira sama ada kejadian berlaku ketika melaksanakan tugas, operasi atau latihan kita tetap akan menjaga kebajikan anggota," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Selain kenaikan pangkat, TDM turut memberi faedah kelayakan kematian kepada balu, anak dan ahli keluarga.

Allahyarham Koperal Mohamad Azrin yang berkhidmat bersama TDM sejak tujuh tahun lalu meninggalkan balu, Nor Aqila Syafiqa Safuan, 23, dan bayi perempuan berusia sembilan bulan.

Terdahulu, jenazah Allahyarham selamat dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pinang Dalam di sini, pada 1.45 tengah hari.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham yang bertugas di pasukan Kompeni Pandura, Markas 10 Bridged (PARA) dibawa ke Surau Al Firdaus, Taman Desa Aman pada 12.40 tengah hari untuk disembahyangkan.

Sementara itu, isteri Allahyarham enggan ditemubual kerana masih bersedih dengan kejadian berkenaan.

Dalam kejadian Ahad lalu, Mohamad Azrin hilang selepas terjatuh apabila cuba menyeberangi Sungai Pahang ketika menjalani latihan.

Mayat mangsa kemudian ditemui di tebing sungai berdekatan Kampung Serengkam, Maran, semalam, hampir 70 kilometer dari lokasi dia dilaporkan lemas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 4:20 PM