Anuar meninggal dunia akibat kanser hati. FOTO NSTP
Anuar meninggal dunia akibat kanser hati. FOTO NSTP
Norzamira Che Noh


BALU kepada bekas pemain kebangsaan di era 1990-an, Allahyarham Anuar Abu Bakar yang meninggal dunia, malam tadi memaklumkan kesihatan arwah merosot seminggu selepas ibunya, Aminah Nayan meninggal dunia.

Siti Mariam Sathawee, 46, berkata arwah dikesan menghidapi kanser hati tahap empat pada 14 Mac lalu.

"Ketika diberitahu beliau menghidapi kanser hati tahap empat, kami sangat sedih kerana tiada simptom beliau sakit malah doktor juga memaklumkan jarang jumpa kes sepertinya kerana dia kelihatan kuat dan sihat.

"Kami juga berikhtiar mencari ubat bagaimanapun tiada yang sesuai dengannya dan keadaan semakin lemah terutamanya selepas ibunya meninggal dunia kira-kira dua minggu lalu," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam, hari ini.

Siti Mariam tidak menyangka suaminya pergi begitu cepat. FOTO NSTP
Siti Mariam tidak menyangka suaminya pergi begitu cepat. FOTO NSTP

Beliau berkata, sebelum menghembuskan nafas terakhir, Allahyarham mengadu rasa tidak selesa di perut justeru beliau membawanya ke hospital.

Sementara itu, ayah Allahyarham, Abu Bakar Zainal, 74 berkata beliau tidak dapat menjenguk Anuar dengan kerap kerana terpaksa menguruskan Allahyarham isterinya yang terlantar sakit di hospital di Muar, Johor.

"Ketika dia mula-mula sakit, saya serta ibunya ada datang ziarah dan pada ketika itu dia masih sihat dan boleh bercakap macam biasa. "Kami kemudiannya balik ke Muar dan ketika itu ibunya pula mula sakit sehingga ditahan di hospital, jadi saya tidak sempat berjumpanya selalu kerana menguruskan ibunya.

"Dia juga pulang menziarah ketika ibunya meninggal dua minggu lalu dan saya tidak sangka secepat ini dia pergi," katanya.

Sementara itu, jenazah Allahyarham Anuar selamat dikebumikan pada jam 10.50 pagi tadi dan dihadiri lebih 200 orang terdiri daripada ahli keluarga serta kenalan rapatnya.

Sebelum itu jenazahnya dimandi sebelum solat jenazah diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah kira-kira jam 9.30 pagi tadi dengan diimamkan Imam Besar Masjid negeri, Muhammad Farhan Wijaya.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah turut berkenan menziarahi dan menunaikan solat jenazah.

Anuar, 48, pernah beraksi di posisi tengah dan penyerang selain pernah menyarung jersi kebangsaan antara tahun 1993 hingga 1997.

Antara pasukan pernah mendapatkan khidmat pemain berasal dari Johor itu ialah Selangor, Johor, Kelantan, Pulau Pinang dan MPPJ Selangor.

Selepas menggantung but, arwah berkecimpung dalam arena pengurusan dan antara pasukan pernah mendapatkan khidmatnya sebagai pembantu jurulatih adalah PKNS FC, T-Team dan Selangor.

Berita berkaitan:Anuar Abu Bakar sudah tiada... [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2019 @ 3:01 PM