Sri Ayu Kartika Amri


AMANAH Saham Nasional Berhad (ASNB) selaku pengurus tabung Amanah Saham Bumiputera (ASB) menasihati pelabur supaya sentiasa berwaspada dan tidak berkongsi maklumat peribadi serta pelaburan dengan pihak tidak dikenali.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB Mohammad Hussin berkata, pelabur tidak perlu melayan sebarang panggilan bertanya mengenai butiran pelaburan walaupun pemanggil mendakwa mereka adalah pegawai bank atau pegawai ASNB.

“Jika menerima sebarang panggilan mencurigakan, pelabur disarankan agar jangan mudah panik dan tidak membuat sebarang transaksi membabitkan pengeluaran ASB atau unit amanah ASNB yang lain.

“Untuk mendapatkan kepastian, pelabur boleh menghubungi Jabatan Pengurusan Ejen dan Perhubungan Pelanggan ASNB di talian 03-20573000 atau berhubung dengan pihak polis untuk membuat semakan atau aduan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, sebagai pengurus unit amanah yang mengurus lebih 229 bilion unit dalam edaran milik lebih 13.4 juta pemegang akaun, ASNB sentiasa komited melindungi wang pelabur dengan menggunakan sistem keselamatan terbaik.

Namun, katanya, pelabur diminta peka dan mengambil tahu mengenai kewujudan sindiket seperti ‘Macau Scam’ kerana ASNB tidak boleh membantu menggantikan wang pelaburan mereka sekiranya ia dikeluarkan oleh pelabur sendiri selepas dipengaruhi sindiket terbabit.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Datuk Abdul Rahman Ahmad menyampaikan sijil penghargaan dan cenderahati 1,000 unit Amanah Saham Wawasan 2020 kepada ejen ASNB yang membantu seorang pelabur ASB daripada diperdaya oleh sindiket ‘Macau Scam’.

Dalam kejadian berkenaan, pelabur terbabit dikatakan menerima panggilan daripada seorang pemanggil yang menyamar sebagai pegawai bank dan mendakwanya beliau terbabit dalam jenayah penggubahan wang haram.

‘Pegawai bank’ itu kemudian mengarahkan pelabur terbabit memindahkan wang berjumlah RM120,000 untuk mengelakkan tindakan undang-undang.

Pelabur berkenaan yang panik pergi ke cawangan ejen ASNB berdekatan untuk mengeluarkan semua wang pelaburan ASBnya untuk dipindahkan ke akaun baru seperti diarahkan pemanggil.

Bagaimanapun, pelabur berkenaan bernasib baik kerana gelagat mencurigakan pada dirinya disedari oleh ejen ASNB yang mengambil inisiatif untuk bertanya lebih lanjut dan kemudian melaporkan kejadian berkenaan kepada pihak polis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Julai 2018 @ 7:41 PM