Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), Muzzaffar Othman (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital, Alan Ni. - FOTO NSTP
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), Muzzaffar Othman (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital, Alan Ni. - FOTO NSTP
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: TNG Digital Sdn Bhd bekerjasama dengan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) menyediakan pelaburan pantas, mudah dan boleh dicapai kepada rakyat Malaysia melalui aplikasi Touch 'n Go eWallet.

Ketua Pegawai Eksekutif TNGD, Alan Ni berkata, kerjasama ini menjadikan TNGD sebagai ejen e-dompet pertama dan satu-satunya yang menawarkan pelaburan dalam unit amanah ASNB untuk rakyat Malaysia melalui Touch 'n Go eWallet.

Menurutnya, kerjasama ini membolehkan rakyat Malaysia untuk melanggan kesemua 17 unit amanah ASNB melalui ciri GOinvest dalam aplikasi berkenaan.

"Pengguna boleh menyimpan dan melabur dengan pulangan pelaburan yang konsisten dan berdaya saing melalui ASNB dengan risiko agak rendah dan instrumen pelaburan jangka panjang.

"Dengan pelaburan permulaan minimum yang sangat rendah iaitu hanya RM10, lebih 12 juta pemegang unit ASNB kini boleh melabur dengan mudah melalui GOInvest.

"Perkongsian inovatif selanjutnya mempelbagaikan tawaran GOinvest kepada sejumlah 26 unit amanah yang memenuhi selera risiko berbeza, sambil menjadikan pelaburan dalam talian mudah dan berpatutan untuk orang ramai," katanya pada majlis pelancaran Labur Online Laju (L.O.L) yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif & Pengarah Eksekutif ASNB Muzzaffar Othman, di sini hari ini.

Alan berkata, pemegang unit ASNB sedia ada kini boleh melabur dengan mudah melalui GOinvest tanpa perlu mengunjungi cawangan atau ejen secara fizikal.

"Pengguna juga boleh menyemak prestasi portfolio mereka, dan membuat pelaburan baharu pada bila-bila masa, di mana sahaja.

"Pengguna baru digalakkan mengakses akaun ASNB mereka melalui aplikasi itu untuk pelaburan sebaik sahaja mereka melengkapkan pendaftaran dalam talian yang mudah melalui aplikasi MyASNB," katanya.

Antara 17 unit amanah yang ditawarkan adalah Amanah Saham Bumiputera (ASB), ASB 2, ASB 3 Didik, Amanah Saham Malaysia (ASM) dan ASM 2 Wawasan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2023 @ 2:52 PM