MOHAMMAD Hamdan.
MOHAMMAD Hamdan.
Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memiliki skuad khas mencari dan menyelamat (SAR) di dalam gua bagi menangani kes kehilangan dan sesat di lokasi berkenaan.

Ketua Pengarahnya, Mohammad Hamdan Wahid berkata, skuad itu ditempatkan di Perak memandangkan negeri ini mempunyai banyak gua batu kapur dengan ada gua tertentu dijadikan rumah ibadat dan tumpuan pelancong.

“Skuad berkenaan sudah dilatih melakukan SAR dalam pelbagai keadaan khususnya di gua dan sentiasa meningkatkan kemahirannya.

“Jika berlaku kejadian seperti ini (kes 12 kanak-kanak dan seorang dewasa terperangkap dalam gua di Thailand), kita ada langkah yang akan diambil terutama kepakaran dan logistik bersesuaian,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja rasmi ke JBPM Perak di Meru Raya di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah JBPM Perak, Datuk Yahaya Madis.

Mohammad Hamdan mengulas tindakan dilakukan JBPM jika berlaku kejadian seperti sekumpulan 12 kanak-kanak yang juga pemain bola sepak Thailand serta jurulatih mereka, yang terperangkap dalam gua Tham Luang di Chiang Rai.

Semua mereka terperangkap selama sembilan hari sebelum ditemui dua penyelam Britain pada 2 Julai lalu dan sekarang usaha menyelamatkan mereka sedang dilakukan.

Mohammad Hamdan berkata, sehingga kini Thailand tidak meminta bantuan daripada JBPM untuk operasi menyelamatkan semua mangsa terbabit.

Namun, beliau percaya negara itu mempunyai kepakaran serta bantuan kepakaran luar negara yang mencukupi untuk berbuat demikian.

Pada masa sama, katanya, sebahagian besar anggota JBPM tidak mempunyai pengetahuan mengenai topografi serta bentuk muka bumi di kawasan terbabit yang pastinya menyukarkan mereka memberi bantuan jika diminta.

“Kita tidak tahu karakter dan topografi kawasan itu, jadi mustahil untuk sertai atau memberi nasihat dalam SAR terhadap mangsa terbabit.

“Saya fikir orang tempatan (Thailand) lebih mengetahui mengenai keadaan bentuk muka bumi kawasan itu. Jika tidak tahu topografi tempat (SAR), maka akan memudaratkan anggota penyelamat sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Julai 2018 @ 11:51 AM