HAMDAN pada sidang media mengenai perkembangan keadaan banjir di pusat operasi banjir Pusat Kawalan Operasi Banjir Taman Sri Muda, Shah Alam. FOTO Rohanis Shukri.
HAMDAN pada sidang media mengenai perkembangan keadaan banjir di pusat operasi banjir Pusat Kawalan Operasi Banjir Taman Sri Muda, Shah Alam. FOTO Rohanis Shukri.
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) lima mangsa banjir yang masih hilang di Pahang menggunakan pelbagai kaedah termasuk bantuan anjing pengesan (K9).

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, mangsa itu dikenal pasti penduduk di Kampung Tanjung dan Telemong (Bentong), Laman Pesona Cheroh (Raub) serta Taman Tas (Kuantan).

"Terdapat 46 kematian (akibat banjir), di mana dalam rekod bomba, 32 kes yang kita respons. Bomba juga masih menjalankan operasi (SAR) lima yang masih belum dijumpai.

"Ada tempat kita temui mangsa semalam cukup mencabar kerana apabila air surut, batang kayu, sampah, selut, belukar termasuk bahan binaan musnah dan sebagainya.

"Semalam, kita menemui mayat mangsa sedalam 3.65 meter (12 kaki) di bawah banjir lumpur dengan bantuan unit K9 dan anjing ini berjaya mengesan kedudukan mayat, mengenal pasti kawasan itu dan apabila bomba gali, betul ada mayat mangsa di situ dan diselamatkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Media Bergerak, Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di sini, semalam.

Mohammad Hamdan berkata, keseluruhan 24 anjing K9 digerakkan di seluruh Pahang manakala, semua balai bomba dan penyelamat di kawasan sekitar dikerahkan untuk menyelamatkan mangsa banjir.

Sementara itu beliau berkata, JBPM turut menjalankan pemantauan menyeluruh di lokasi berisiko banjir Pahang, Sarawak dan Selangor.

"Kita kini bersiap siaga sepenuhnya jika berlaku fenomena (gelombang) kedua banjir dalam masa terdekat. Pemantauan itu akan ditumpukan pada 34 kawasan di Sarawak, Selangor (20) dan Pahang (17)," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Disember 2021 @ 4:16 PM