(Dari kiri) Azizah, Mohd Shahar dan Zahida mendahului lawan masing-masing.
(Dari kiri) Azizah, Mohd Shahar dan Zahida mendahului lawan masing-masing.
Nazura Ngah; Veena Babulal dan Mohd Iskandar Ibrahim

NAIB Ketua Wanita UMNO, Datuk Azizah Mohd Dun mendahului dua pencabar dalam saingan merebut jawatan ketua pada pemilihan pergerakan itu hari ini.

Sehingga jam 8 malam, Ahli Parlimen Beaufort itu memperoleh 3,683 undi daripada 16 bahagian, manakala calon lain yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr Noraini Ahmad mendapat sokongan 14 bahagian dengan 3,915 undi dan bekas Ketua Wanita, Tan Sri Dr Siti Zaharah Sulaiman gagal memperoleh sebarang sokongan daripada bahagian.

Bagi jawatan naib ketua, Ketua Penerangan Wanita, Datuk Rosni Zahari turut mendahului tiga lagi pencabar apabila memperoleh sokongan daripada 15 bahagian dengan 4,069 undi.

Berbanding calon lain, Ketua Wanita UMNO Pulau Pinang, Datuk Norliza Abdul Rahim dilihat mengekori rapat Rosni apabila turut memperoleh sokongan 15 bahagian, namun hanya memperoleh 3,608 undi sejak keputusan rasmi dipaparkan di ibu pejabat UMNO, Menara Dato Onn di sini.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Pahang, Mohd Shahar Abdullah mendahului senarai sembilan calon yang bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO apabila memperoleh 1,003 undi daripada sembilan bahagian diikuti Ahli Majlis Tertinggi (MT), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Naib Ketua Pemuda, Khairul Azwan Harun.

Bagi jawatan naib ketua, Ketua Penerangan Pemuda, Shahril Sufian Hamdan turut mendahului senarai sembilan calon bagi jawatan berkenaan selepas memperoleh sokongan 13 bahagian dengan 1,462 undi.

Untuk sayap bongsu UMNO, Naib Ketua Puteri, Datuk Zahida Zarik Khan meninggalkan jauh pencabarnya apabila memperoleh undi daripada 36 bahagian, manakala pencabarnya, EXCO Puteri, Nor Hazreena Mohamad Hashim gagal memperoleh sebarang undi daripada mana-mana bahagian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Jun 2018 @ 12:19 AM