(Dari kiri) Noraini, Asyraf Wajdi dan Zahida mengatasi lawan masing-masing setakat jam 12.30 malam tadi.
(Dari kiri) Noraini, Asyraf Wajdi dan Zahida mengatasi lawan masing-masing setakat jam 12.30 malam tadi.
Mohd Iskandar Ibrahim dan Veena Babulal

KEPUTUSAN rasmi pemilihan tiga sayap UMNO hanya akan diumum pada jam 5 petang ini.

Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab Rauf Yusoh berkata, sebanyak 56 bahagian masih bermesyuarat setakat 12 malam tadi dan belum menghantar keputusan di peringkat bahagian masing-masing.

“Memandangkan masih ada bahagian yang belum tamat mesyuarat dan masih ada yang sedang mengira undi, ibu pejabat hanya akan mengumumkan keputusan rasmi pada jam 5 petang hari ini.

“Setakat jam 12.30 malam, peratusan bahagian yang sudah menghantar keputusan masing-masing hanya 45 peratus,” katanya pada sidang media di Menara Dato Onn di PWTC, hari ini.

Ab Rauf berkata, keputusan yang tersebut di laman sosial adalah tidak rasmi hanya hanya ibu pejabat sahaja yang akan mengeluarkan keputusan rasmi.

Katanya, kelewatan pengumuman keputusan rasmi itu disebabkan ada bahagian yang lewat memulakan mesyuarat.

“Saya tidak tahu kenapa lewat tetapi keputusan rasmi hanya akan diketahui jam 5 petang ini,” katanya.

Beliau berkata, bahagian yang masih belum menghantar keputusan rasmi membabitkan satu di Perlis, Kedah (6), Melaka (2), Perak (6), Selangor (6), Wilayah Persekutuan (10), Johor (1), Negeri Sembilan (4), Pahang (6), Terengganu (2), Kelantan (6) dan Sabah (6).

Setakat jam 1 pagi, Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr Noraini Ahmad mendahului dengan 34 undi bagi jawatan Ketua Wanita UMNO manakala Naib Ketua pergerakan itu, Datuk Azizah Mohd Dun memperoleh 32 undi dan bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Dr Siti Zaharah Sulaiman masih belum mendapat sebarang undi.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi (MT), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendahului dengan 21 undi bagi merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO diikuti Ketua Pemuda UMNO Pahang, Mohd Shahar Abdillah dengan 20 undi manakala Naib Ketua Pemuda, Khairul Azwan Harun dengan 15 undi.

Bagi jawatan naib ketua, Ketua Penerangan Pemuda, Shahril Sufian Hamdan turut mendahului senarai sembilan calon bagi jawatan berkenaan selepas memperoleh sokongan 40 bahagian.

Bagi Pergerakan Puteri UMNO, Naib Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan meninggalkan jauh pencabarnya dengan 73 undi berbanding EXCO Puteri, Nor Hazreena Mohamad Hashim yang hanya memperoleh sembilan undi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Jun 2018 @ 1:18 AM