KANAK-KANAK bermain bunga api. FOTO Mohd Sharumnisham Shahbudin
KANAK-KANAK bermain bunga api. FOTO Mohd Sharumnisham Shahbudin
Mohd Sharumnisham Shahbudin


SEKUMPULAN 20 anak muda dari tiga kampung di Changlun mempunyai cara tersendiri menyerikan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Mereka bergotong-royong memasang 300 pelita sepanjang 1.2 kilometer di jalan raya utama yang melalui kampung mereka, iaitu Kampung Padang, Kampung Sungai Petani dan Kampung Changkat Nibong sejak Isnin lalu.

Wakil kumpulan berkenaan Muhd Hanif Zulkifli, 28, berkata, tahun ini adalah tahun pertama mereka mengambil inisiatif sendiri bagi memeriahkan Aidilfitri dan ternyata usaha ini mendapat sokongan daripada penduduk kampung.

"Setiap rumah memberikan sumbangan derma ikhlas dan kami berjaya mengumpulkan sebanyak RM500,

"Dengan duit berkenaan kami membeli pelita dan 100 liter minyak diesel untuk menyalakannya sehingga hari raya ketiga," katanya ketika ditemui di kampungnya malam, semalam.

Katanya, kanak-kanak paling suka dengan pelita ini kerana mudah bagi mereka bermain bunga api dan mercun.

"Melihat kepada kemeriahan dan keceriaan tahun ini, insya-Allah kami akan merancang suasana lebih meriah dengan jumlah pelita yang lebih banyak pada tahun depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Jun 2018 @ 5:04 PM