Zuliaty Zulkiffli


SEKUMPULAN penduduk di Kampung Pida 7, Jerlun, dekat Jitra, memasang 700 pelita minyak tanah di kampung itu, bagi memeriahkan sambutan Aidilfitri tahun ini.

Seramai 20 pemuda mengambil inisiatif memasang pelita itu bagi menyambut minggu terakhir Ramadan dan malam tujuh likur.

Wakil penduduk, Mohd Husaini Ishak, 28, berkata, tradisi itu dilakukan sejak lebih 30 tahun dan terus dipertahankan.

Katanya, sebaik kerajaan memberi kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), dia bersama rakan mula memasang pelita di sekeliling kampung.

SERAMAI 20 anak muda dari pelbagai peringkat usia bersama-sama bergotong-royong memasang pelita dan lampu hiasan untuk menyambut minggu terakhir Ramadan dan malam tujuh likur. FOTO Amran Hamid
SERAMAI 20 anak muda dari pelbagai peringkat usia bersama-sama bergotong-royong memasang pelita dan lampu hiasan untuk menyambut minggu terakhir Ramadan dan malam tujuh likur. FOTO Amran Hamid

"Kami bergotong-royong menyusun pelita membentuk perkataan 'Selamat Hari Raya' dan ditambah perkataan 'PKP' supaya orang ramai sedar kita masih berada dalam keadaan berjaga-jaga ketika wabak Covid-19.

"Lebih 700 pelita digunakan bagi membentuk dekorasi menarik dan ditambah kilauan lampu warna-warni menghiasi pintu gerbang masuk ke kampung ini," katanya ketika ditemui, malam tadi.

Mohd Husaini berkata, dia bersama rakan mengambil masa tiga hari untuk menyusun pelita berkenaan kerana bukan mudah melakukannya, jika tiada perancangan awal.

"Kami akan menyalakan pelita ini selama lima hari sehingga malam Aidilfitri dan orang ramai yang tinggal berdekatan boleh datang mengambil gambar pada waktu malam.

"Pelita akan dipasang mulai selepas berbuka puasa sehingga jam 1 pagi sahaja," katanya.

NAJMI, membetulkan pelita yang dipasang di pintu masuk ke Kampung Pida 7, Jerlun  untuk memeriahkan suasana hari raya. FOTO Amran Hamid
NAJMI, membetulkan pelita yang dipasang di pintu masuk ke Kampung Pida 7, Jerlun untuk memeriahkan suasana hari raya. FOTO Amran Hamid

Mohd Husaini berkata, mereka membuat kutipan RM20 seorang bagi membeli minyak tanah dan menggunakan pelita sedia ada.

Bagi Mohd Al Hafiz Ali, 26, aktiviti ini kebiasaan dilakukan pada malam tujuh terakhir menjelang 1 Syawal setiap tahun.

Namun katanya, kali ini, ramai yang tidak dapat pulang ke kampung disebabkan Covid-19 tetapi mereka yang berada di kampung tetap menyambutnya dalam keadaan sederhana.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2020 @ 10:02 AM