Oleh Faris Fuad


HANYA bongkah batu yang terjatuh di atas pondok di pekarangan Masjid Bukit Antarabangsa, Ampang, malam semalam, bukan tanah runtuh.

Nazir masjid berkenaan, Zulkifli Ahmad, berkata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dan beberapa pegawai Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) membuat tinjauan pagi tadi bagi melihat dan memeriksa kawasan sebelum mengambil tindakan susulan.

Katanya, Zuraida selaku Ahli Parlimen Ampang turun padang bagi melihat sendiri keadaan pondok itu dengan penerangan disampaikan oleh wakil MPAJ.

“MPAJ akan mengambil tindakan susulan termasuk memasang alat atau mewujudkan ruang ‘penahan’ batu.

“Ahli masjid turut diberitahu pegawai MPAJ akan memotong akar pokok yang reput, bersihkan kawasan berkaitan sebelum membaik pulih pondok berkenaan,” katanya ketika ditemui NSTP.

Ahli Jawatankuasa masjid itu, Johari Abdul Jalil, pula berkata pondok itu dijadikan tempat membakar lemang dua kali setahun iaitu pada hari sambutan Aidilfitri dan Aidiladha.

“Di pondok ini, kita bakar lemang dan kadang-kadang menjadi tempat jemaah duduk untuk berehat.

“Ini kejadian pertama seumpama ini. Terkejut jemaah masjid semalam ketika mendengar bongkah batu jatuh. Mujur tiada orang di pondok,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Program Kawasan Cerun Bukit Antarabangsa, Eriko Motoyama berkata, kejadian itu mungkin berlaku susulan hasil campuran air hujan, kesan bahan kimia dan pancaran matahari terhadap batu terbabit.

Beliau berkata, batu itu secara tidak langsung menjadi licin dan merekah.

“Saya berpendapat kejadian ini adalah akibat alam semula jadi. Ia juga bukan sesuatu perkara yang di luar jangkaan kerana Bukit Antarabangsa mempunyai banyak kawasan cerun.

“Apa yang kita boleh buat adalah sentiasa mengingatkan penduduk setempat mengenai langkah susulan dan sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Semalam, beberapa media melaporkan struktur garaj di Masjid Bukit Antarabangsa, Taman Bukit Utama, di Ampang, dihempap bongkah batu kapur akibat tanah runtuh.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian jam 9.30 malam itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mei 2018 @ 5:21 PM
Kariah Masjid  Bukit Antarabangsa, melihat runtuhan bongkah batu di kawasan Masjid Bukit Antarabangsa. FOTO Rohanis Shukri
Kariah Masjid Bukit Antarabangsa, melihat runtuhan bongkah batu di kawasan Masjid Bukit Antarabangsa. FOTO Rohanis Shukri