PENGUBAHSUAIAN rumah yang tidak mengikut spesifikasi menyebabkan berlaku runtuhan di Taman Zoo View di Ampang Jaya, malam tadi. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor
PENGUBAHSUAIAN rumah yang tidak mengikut spesifikasi menyebabkan berlaku runtuhan di Taman Zoo View di Ampang Jaya, malam tadi. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


“KEJADIAN tanah runtuh ini bukan kali pertama malah sudah tiga kali berlaku di kawasan perumahan ini,” kata Zahir Ghazali, pemilik rumah di Taman Zoo View, Ampang Jaya, yang terkesan akibat runtuhan di kawasan cerun setinggi sembilan meter.

Zahir, 43, berkata, kali pertama berlaku pada 2017 di tempat dan lokasi sama dan kejadian kali kedua pada Jun lalu serta kejadian terbaru itu adalah kali ketiga.

“Kejadian ini dipercayai berlaku akibat pembinaan pengubahsuaian rumah di kawasan sekitar yang dibuat tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

“Kawasan sebelah rumah saya ini sudah tiga tahun terbengkalai pembinaannya. Sudah berpuluh aduan dilakukan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), namun tiada sebarang tindakan yang diambil,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurut Zahir, dia baru setahun tinggal di kawasan berkenaan namun sudah banyak kali berlaku kejadian yang tidak diingini.

“Insiden malam tadi menyebabkan struktur di bahagian belakang rumah retak dan kawasan bukit berkenaan runtuh.

“Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) juga pernah mengeluarkan notis mengemukakan pelan disusuli saman kepada pemilik rumah berkenaan, namun tidak merobohkan struktur tambahan yang dibina itu menyebabkan kejadian ini berulang,” katanya.

Menurutnya, dia menggesa pihak berwajib mengambil tindakan segera keatas pemilik rumah yang berdegil sehingga menyebabkan berlaku bencana di kawasan itu.

“Walaupun aduan sudah dibuat, namun tiada sebarang tindakan.

“Jadi di manakah kuasa yang diberikan kepada PBT dan mengapakah ia tidak dapat dijalankan?” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Disember 2019 @ 12:34 PM