Mohd Husni Mohd Noor


KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengarahkan sebuah banglo di lereng bukit di Jalan Kelab Ukay 2, Taman Kelab Ukay, Ampang, dirobohkan segera susulan insiden pergerakan tanah dikesan awal pagi semalam.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, arahan itu dikeluarkan bagi mengelak kejadian lebih buruk berlaku termasuk kejadian tanah runtuh di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengarahkan pemilik tiga banglo berdekatan supaya mengosongkan kediaman masing-masing sebagai langkah keselamatan.

“Saya sudah bercakap dengan pemilik kediaman berkenaan dan meminta supaya mengumpulkan segala dokumen berkaitan termasuk insuran perumahan dan sijil perakuan kelayakan (CF) sebelum langkah seterusnya dilakukan.

“Pada prinsipnya pemilik bersetuju untuk pihak berkuasa merobohkan rumahnya. Ia (rumah) mesti dirobohkan kerana kami khuatir akan berlaku pergerakan tanah lebih besar di kawasan itu memandangkan musim hujan sekarang ini.

“Apabila rumah itu dirobohkan, struktur tanah di kawasan itu akan distabilkan dan dimampatkan supaya lebih kukuh,” katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di kawasan berkenaan, petang ini.

ZURAIDA Kamaruddin. FOTO Arkib NSTP
ZURAIDA Kamaruddin. FOTO Arkib NSTP

Zuraida berkata, beliau difahamkan lapan rumah berada di sekitar kawasan terjejas itu, namun hanya sebuah rumah perlu dirobohkan manakala tiga pemilik kediaman lain diarahkan supaya mengosongkan rumah masing-masing.

Beliau berkata, satu mesyuarat teknikal diadakan hari ini oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), Pejabat Daerah dan Tanah Gombak, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) bagi merancang tindakan selanjutnya.

“Saya meminta MPAJ dan jabatan berkaitan supaya meletakkan plastik di kawasan tanah dan lereng bukit yang terdedah dengan hujan bagi mengelak tanah menyerap air sekali gus terdedah kepada pergerakan tanah,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Gombak, Datuk Amirul Azizan berkata, pihaknya masih belum mendapat laporan lengkap mengenai punca pergerakan tanah itu.

“Kami mahu tahu keadaan paip bawah tanah di kawasan itu termasuk melihat kemungkinan berlaku paip pecah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Disember 2019 @ 7:59 PM