Keadaan Kereta yang rosak teruk akibat dihempap batu yang jatuh daripada bukit berhampiran di Pangsapuri Intan Taman Bukit Permai. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Keadaan Kereta yang rosak teruk akibat dihempap batu yang jatuh daripada bukit berhampiran di Pangsapuri Intan Taman Bukit Permai. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Ampang Jaya: Akar tumbuhan liar dipercayai menyebabkan rekahan batuan dan mengakibatkan bongkah batu terjatuh dalam kejadian di Pangsapuri Taman Bukit Permai, Pandan Indah, semalam.

Pegawai Komunikasi Korporat Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Norhayati Ahmad berkata, semakan terhadap struktur 'wire netting' mendapati tiada sebarang kebocoran atau kerosakan berlaku.

"Terdapat jatuhan batu di bahagian atas cerun batuan yang dilitupi `wire netting' bahagian ini sudah dilaksanakan penstabilan sebelum ini menggunakan kaedah 'rock bolting'.

"Lokasi kejadian berlaku dalam kawasan yang dizonkan sebagai kawasan lapang yang berhampiran Taman Bukit Permai," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kawasan kaki cerun berkenaan bukan dikhususkan untuk meletak kenderaan dan tiada petak parkir di lokasi itu.

"MPAJ kini memasang tali keselamatan di kawasan jatuhan batuan selain kerja-kerja pembersihan sisa batuan dilaksanakan di tapak kejadian.

"Pemilik kenderaan yang terbabit juga dinasihatkan membuat laporan polis dan laporan di MPAJ," katanya.

Katanya, MPAJ akan melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan pokok liar di kawasan cerun batuan dan kajian pemetaan geologi struktur bagi menilai faktor keselamatan cerun batuan.

"Selain itu, MPAJ juga akan melaksanakan kerja penstabilan cerun secara menyeluruh di kawasan cerun batuan bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang.

"MPAJ melarang penduduk meletakkan kenderaan di kaki cerun bagi mengelakkan bahaya dalam keadaan cuaca yang sering hujan ketika ini. Pagar keselamatan sementara juga akan dibina di sepanjang cerun sebagai penghadang serta pemasangan jaring keselamatan akan dilaksanakan dengan kadar segera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2022 @ 4:22 PM