KETUA Polis Negeri Pulau Pinang, Datuk A Thaiveegan (tengah) turut 'diserbu' pelancong yang mahu bergambar dengannya ketika menjalani program bersama komuniti, DI Georgetown. FOTO Zuhainy Zulkiffli
KETUA Polis Negeri Pulau Pinang, Datuk A Thaiveegan (tengah) turut 'diserbu' pelancong yang mahu bergambar dengannya ketika menjalani program bersama komuniti, DI Georgetown. FOTO Zuhainy Zulkiffli
Zuhainy Zulkiffli


BAGAIKAN selebriti, sepasukan anggota polis Pulau Pinang diserbu puluhan pelancong asing yang mahu bergambar bersama di Lebuh Armenian, Georgetown.

Ketika itu, sepasukan anggota polis terbabit sedang menjalani program bersama masyarakat di kawasan berkenaan yang menjadi tumpuan pelancong.

Kebanyakan pelancong yang baru sahaja tiba dari China itu turut memuji kemesraan anggota polis terbabit yang melayan kerenah pelancong dengan baik.

Pelancong dari Chengdu, yang mahu dikenali sebagai Shang-Yuen, 47, berkata, mereka datang ke Lebuh Armenian bersama rombongan menaiki bas persiaran dan ia adalah lokasi pertama lawatan mereka selepas tiba ke negeri ini sejak semalam.

"Pada mulanya saya berasa bimbang jika polis terbabit enggan mengambil gambar bersama rakannya, namun tanggapan saya ternyata salah.

"Rupa-rupanya anggota polis terbabit mesra dengan kami walaupun mereka sedang bertugas dan ia memberi pengalaman manis kepada kami," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Dalam program itu, Ketua Polis Negeri, Datuk A Thaiveegan, turut sama turun padang bertemu penarik beca, masyarakat dan pelancong bagi menunjukkan kesungguhan pasukan itu dalam membanteras jenayah dan menjaga kesejahteraan di negeri ini.

Katanya, program yang dijalankan dua kali seminggu di berlainan lokasi itu bertujuan mendekatkan masyarakat dengan anggota polis serta pengusaha premis berhampiran.

"Kami turut mengedarkan risalah kepada kepada penarik beca berikutan mereka juga boleh menjadi rakan kolaborasi kepada pihak polis.

"Mereka membawa penumpang setiap hari di sekitar bandaraya, dan jika ada sesuatu yang tidak kena, mereka boleh terus melaporkannya kepada polis," katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mei 2018 @ 5:11 PM