AZLAN Man mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis di Istana Arau. FOTO Amran Hamid
AZLAN Man mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis di Istana Arau. FOTO Amran Hamid
Rohaniza Idris


MENTERI Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man, dipecat daripada UMNO, berkuat kuasa hari ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, berkata keputusan pemecatan itu diputuskan sebulat suara UMNO Perlis, yang bermesyuarat hari ini.

Dengan pemecatan itu, Azlan kini menjadi Menteri Besar tanpa parti.

“Pemecatan itu juga sudah dimaklumkan kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang kini menjalankan tugas Presiden UMNO dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO,” katanya.

Terdahulu, UMNO Perlis bermesyuarat kira-kira dua jam dengan Ahmad Zahid dan Hishammuddin.

Pada sidang media di ibu pejabat Barisan Nasional (BN), di Kuala Lumpur, hari ini, Shahidan berkata, sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Perlis menolak pelantikan Azlan sebagai Menteri Besar negeri itu.

Pagi tadi, Azlan sah menjadi Menteri Besar Perlis untuk penggal kedua apabila mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar di Balai Menghadap, Istana Arau.

Istiadat mengangkat sumpah jawatan itu berlangsung di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, 11.10 pagi tadi.

Semua sembilan ADUN BN tidak hadir pada majlis mengangkat sumpah itu. Hanya tiga ADUN Pakatan Harapan (PH) dan dua ADUN PAS yang hadir.

Sebelum ini, Shahidan mengumumkan nama ADUN Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim, yang juga adiknya sebagai calon Menteri Besar baru.

Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) menyaksikan BN berjaya meraih 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PH hanya tiga kerusi dan PAS dua kerusi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mei 2018 @ 3:56 PM