Khairul Azran Hussin

BARISAN Nasional (BN) Selangor menampilkan seramai 57 muka baharu pada pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Seramai 14 muka baharu bertanding bagi kerusi Parlimen dan 43 muka baharu kerusi DUN.

Selangor mempunyai 22 kerusi Parlimen dan 56 kerusi DUN.

Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, pemilihan calon pada PRU-14 dianggap antara yang paling teliti pernah dilakukan parti, malah ia lebih seimbang dari segi usia serta latar belakang.

“Sebagai contoh BN Selangor menampilkan calon muda seramai sembilan orang; calon wanita (8); golongan profesional (13) ahli akademik (6); penjawat awam (6) serta bekas pegawai tentera (2).

“Baki calon lain pula terdiri daripada pelbagai latar belakang serta bidang. Ia menggambarkan calon yang ditampilkan mewakili semua golongan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Calon BN Selangor di Shah Alam, hari ini.

Noh menerima watikah perlantikan dari  Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai pada Majlis Pengumuman Calon BN Selangor. Roslin Mat Tahir
Noh menerima watikah perlantikan dari Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai pada Majlis Pengumuman Calon BN Selangor. Roslin Mat Tahir

Noh berkata, seramai sembilan penyandang kerusi DUN kekal bertanding, manakala dua penyandang digugurkan serta seorang meninggal dunia.

“Penyandang kerusi DUN yang kekal ialah Rosni Sohar di Hulu Bernam; Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan (Batang Kali); Datuk Mohd Shamsudin Lias (Sungai Burong); Sulaiman Abdul Razak (Permatang) dan Jakiran Jacomah (Bukit Melawati).

“Penyandang lain ialah Datuk Abdul Shukur Idrus (Kuang); Datuk Johan Abdul Aziz (Semenyih) dan Halimathon Saadiah Bohan (Kota Damansara) dan Shahrun Mohd Sharif.

“Mereka yang digugurkan ialah Budiman Mohd Zohdi (DUN) Sungai Panjang dan Amiruddin Setro (Jeram), manakala kerusi DUN Sungai Air Tawar kosong selepas Kamarol Zaki Abdul Malik meninggal dunia,” katanya.

Ditanya mengenai pengguguran Amiruddin, Noh mengakui agak berat untuk membuat keputusan itu, namun ia perlu dilakukan bagi memberi laluan kepada muka baharu.

“Amiruddin sudah berkhidmat sebagai wakil rakyat Jeram selama tiga penggal dan BN negeri amat menghormati beliau. Namun, saya yakin Amiruddin akan kekal membantu kempen BN,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 April 2018 @ 7:33 PM