MOHD Ali (tengah) bersama Azhar (tiga dari kanan) beramah mesra bersama usahawan Negeri Sembilan selepas perasmian pejabat PUNB Negeri Sembilan di Pusat Dagangan Seremban 2, hari ini. FOTO Hazreen Mohamad
MOHD Ali (tengah) bersama Azhar (tiga dari kanan) beramah mesra bersama usahawan Negeri Sembilan selepas perasmian pejabat PUNB Negeri Sembilan di Pusat Dagangan Seremban 2, hari ini. FOTO Hazreen Mohamad
Tuty Haryanti Ahmad Rodzi


PERBADANAN Usahawan Nasional Bhd (PUNB) menawarkan lanjutan tempoh sehingga 10 tahun bagi pembayaran semua skim pembiayaannya berbanding tujuh tahun sebelum ini.

Pengerusinya Tan Sri Mohd Ali Rustam berkata, usahawan yang sudah membuat pembiayaan sebelum ini, boleh menghantar permohonan untuk melanjutkan tempoh pembayaran.

Beliau berkata, bagi usahawan yang membuat permohonan pembiayaan baharu, mereka secara automatik menikmati tempoh pembayaran sehingga 10 tahun, bermula bulan lalu.

“Tujuan utama kita menawarkan tempoh pembayaran lebih panjang untuk memberi peluang kepada usahawan membuat bayaran bulanan lebih rendah selain mahu meringankan komitmen mereka.

“Tawaran ini terbuka kepada semua usahawan yang membuat pinjaman mana-mana skim pembiayaan PUNB,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pejabat PUNB Cawangan Negeri Sembilan dan pelancaran Buku Kejayaan 50 Usahawan Negeri Sembilan di Seremban, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PUNB Datuk Azhar Ahmad.

Katanya, PUNB turut membuka sebuah cawangan di Kangar, Perlis dan lima cawangan tambahan di Kedah, Perak, Sabah, Sarawak dan Kelantan, bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 April 2018 @ 6:13 PM