GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) menawarkan pemberian moratorium penuh ke atas prinsipal dan keuntungan kepada Rakan Usahawan yang layak dan tambahan diskaun sewa 20 peratus hingga 70 peratus kepada penyewa premis perniagaan PUNB bermula 1 Julai hingga 31 Disember 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif, Izwan Zainuddin berkata, penambahbaikan tersebut dibuat ke atas pelaksanaan moratorium sebelum ini yang hanya melibatkan pembayaran prinsipal dan tawaran diskaun 50 peratus bagi sewa premis perniagaan.

"Pemberian moratorium bagi tempoh Januari hingga Disember 2021 ini memberi manfaat kepada hampir 3,300 syarikat Rakan Usahawan PUNB dengan nilai berjumlah RM118.51 juta," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, semua Rakan Usahawan PUNB yang mendapat moratorium bagi tempoh Januari hingga Jun 2021 secara automatik layak menerima inisiatif ini.

Selain itu, usahawan baharu, penerima pembiayaan tambahan dan syarikat yang menerima pembiayaan di bawah Skim Pembiayaan Bantuan Bumiputera dan Skim Pembiayaan Usahawan Terkesan Covid-19 turut layak secara automatik, katanya.

Izwan berkata, langkah proaktif itu diambil untuk memastikan kelangsungan perniagaan dan membantu usahawan yang dalam proses pemulihan perniagaan ketika negara sedang bersedia untuk memasuki fasa endemik.

Selain itu, pemberian moratorium dan penambahan diskaun sewa tersebut bertujuan memberikan kelegaan aliran tunai segera kepada usahawan yang mungkin menghadapi kekangan kewangan sementara akibat pandemik Covid-19, katanya.

Beliau berkata, pemberian diskaun tambahan ke atas sewa premis perniagaan melibatkan anggaran kutipan sewa sebanyak RM6.78 juta bagi tempoh Januari hingga Disember 2021 dengan melibatkan 246 penyewa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 1:14 PM