NOH (dua dari kanan) bertanya sesuatu kepada Pengarah Mimoo Sdn Bhd, Wan Khairie Wan Nilam (kanan) di Kampung Baru Subang, semalam. FOTO Owee Ah Chun
NOH (dua dari kanan) bertanya sesuatu kepada Pengarah Mimoo Sdn Bhd, Wan Khairie Wan Nilam (kanan) di Kampung Baru Subang, semalam. FOTO Owee Ah Chun
Suraya Roslan


PERBADANAN Usahawan Nasional Bhd (PUNB) menawarkan pembiayaan inisiatif khas, Pembiayaan Mudah Bumiputera (BRF) berjumlah RM200 juta di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata, inisiatif khas itu ditawarkan bagi membantu syarikat Bumiputera yang terjejas akibat Covid-19 untuk meneruskan perniagaan mereka dengan tawaran pembiayaan antara RM100,000 hingga RM1 juta.

"Pembiayaan ini ditawarkan dianggarkan kepada 1,000 syarikat dan permohonan melalui dalam talian," katanya pada sidang media selepas mengumumkan permohonan BRF di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin.

Noh berkata, inisiatif itu diperkenalkan bagi memastikan kemampuan dan kestabilan perniagaan usahawan Bumiputera kembali pulih serta dapat menyesuaikan perniagaan dengan model baharu berikutan perubahan norma pasaran ekonomi serta persekitaran.

"Pembiayaan ini terbuka kepada semua usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terbabit dalam sektor peruncitan dan pengedaran perdagangan, pembuatan dan kejuruteraan, automasi sistem, kesihatan, hospitaliti, penggerak perniagaan, logistik, penggudangan serta perkhidmatan dan industri kreatif.

"Kami menjangkakan BRF akan memberi manfaat kepada 200 usahawan PKS di seluruh negara dan penerima akan diberikan penangguhan pembayaran selama enam bulan secara automatik dari tarikh pengeluaran dana," katanya.

Noh berkata, syarikat yang layak memohon perlu sekurang-kurangnya 70 peratus milik Bumiputera dan mempunyai perolehan jualan RM300,000 setahun.

Permohonan boleh dibuat secara dalam talian di portal rasmi PUNB dengan kelulusan dibuat dalam tempoh 21 hari bekerja.

Kadar keuntungan yang dikenakan hanya 3.5 peratus setahun dengan tempoh pembayaran maksimum sehingga lima tahun enam bulan.

Sementara itu, Izwan berkata, PUNB berharap menerima peruntukan lebih besar sebanyak RM200 juta di bawah Belanjawan 2021 berbanding RM150 juta tahun ini untuk memperkasakan usahawan Bumiputera.

Cadangan itu sudah dikemukakan kepada kerajaan pada April lalu.

"Kami berharap dapat lebih banyak peruntukan tahun depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2020 @ 6:00 AM