DR WAN Mansor (tiga dari kanan) melawat pameran dan kaunter saringan kesihatan selepas Merasmikan Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia Peringkat Negeri Pulau Pinang di LPPKN Bertam, Kepala Batas, hari ini. FOTO Ramdzan Masiam
DR WAN Mansor (tiga dari kanan) melawat pameran dan kaunter saringan kesihatan selepas Merasmikan Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia Peringkat Negeri Pulau Pinang di LPPKN Bertam, Kepala Batas, hari ini. FOTO Ramdzan Masiam
Nur Izzati Mohamad


MASIH ramai beranggapan ubat untuk pesakit kencing manis yang diambil di hospital boleh mendatangkan mudarat buat mereka kerana mendakwa ia akan merosakkan buah pinggang.

Namun, tanggapan itu langsung tidak benar kerana ubat kencing manis disediakan hospital serta klinik mengikut piawaian dan keselamatan ditetapkan.

Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang Dr Wan Mansor Hamzah berkata, segala jenis ubat-ubatan disediakan hospital dan klinik mendapat kelulusan selepas menjalani ujian klinikal dikendalikan golongan perubatan profesional.

Katanya, tanggapan masyarakat itu berlaku apabila pesakit khususnya yang menghidap kencing manis tidak merujuk penyakit dihadapi mereka kepada pakar perubatan, sebaliknya mengambil ubat luar dari hospital atau klinik seperti ubat tahan sakit dalam kuantiti banyak.

“€œPesakit sepatutnya mengambil langkah untuk terus menjalani rawatan di hospital dan bukan mengambil ubat lain yang boleh memberi kesan sampingan kepada mereka.

“Ubat-ubatan diberikan kepada pesakit oleh hospital menepati spesifikasi dan diberikan dalam kuantiti dikehendaki mengikut tahap kesihatan pesakit selepas pemeriksaan dijalankan terhadap mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Merasmikan Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia Peringkat Negeri Pulau Pinang di Pusat Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Bertam, Kepala Batas, hari ini.

Dr Wan Mansor berkata, mengikut statistik dalam tempoh lima tahun, terdapat seramai 2,679 pesakit kencing manis di negeri ini menerima rawatan dialisis sejak 2015.

“Pada setiap tahun, kira-kira 600 pesakit kencing manis direkodkan menerima rawatan dialisis dan angka itu tidak pernah berubah bahkan meningkat hingga ia mendatangkan kebimbangan sekiranya tidak dikawal.

“Puncanya berlaku apabila masyarakat kita berdepan dengan masalah obesiti berikutan amalan gaya hidup tidak sihat dan tidak menjaga pemakanan dengan betul sehingga ia mendorong kepada penyakit kencing manis dan darah tinggi lalu menjejaskan buah pinggang,” katanya.

Dr Wan Mansor berkata, sekiranya amalan itu tidak diubah berkemungkinan jumlah pesakit di negeri ini yang berdepan dengan risiko masalah buah pinggang akan meningkat kepada 7,500 orang menjelang 2020.

Beliau berkata, sehubungan itu pihaknya menggesa supaya individu yang mempunyai tanda awal penyakit buah pinggang supaya dapat menjalani rawatan segera sebelum keadaan bertambah parah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Mac 2018 @ 4:51 PM