Shamsul Munir Safini

PARTI pembangkang tidak pernah menghantar senarai nama calon pilihan raya mereka untuk tujuan saringan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil berkata, setakat pengetahuannya sejak menyertai agensi itu dia tidak pernah menerima senarai nama calon pilihan raya daripada parti pembangkang untuk tujuan saringan.

Beliau berkata, ada parti dalam Barisan Nasional (BN) menghantar nama calon mereka bagi tujuan saringan.

"Tidak kira pada pilihan raya mana sekali pun, sejak 34 tahun saya berkhidmat dengan SPRM memang pada pengetahuan saya tiada senarai dihantar parti pembangkang untuk ditapis.

"Namun bagi parti pemerintah, ada senarai yang diterima SPRM termasuk untuk pilihan raya kali ini," katanya pada sidang media selepas Majlis Melafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) oleh ahli Penang Front Party (PFP) dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) lain di negeri ini, di Prai, petang tadi.

Shamsun berkata, proses saringan calon pilihan raya tidak diwajibkan kepada parti bertanding, namun ia akan memberikan gambaran tentang calon itu sendiri.

"Selepas saringan dilakukan, laporan akan dihantar kepada parti dan ia bergantung kepada pihak berkenaan untuk mengambil tindakan selanjutnya.

"Jika ada laporan yang tidak menyenangkan, ia bergantung sama ada laporan dibuat ke atas calon sebelum siasatan dilakukan," katanya.

Ketika ditanya mengenai tarikh senarai calon BN dihantar untuk tujuan saringan, beliau enggan mengulas lanjut namun mengesahkan ia sudah dihantar bagi tujuan saringan dan menunggu laporan.

Sementara itu, beliau mengucapkan penghargaan kepada PFP kerana kesungguhan parti itu dalam usaha memerangi rasuah dengan menandatangani IBR.

"Usaha ini amat disokong SPRM dalam usaha menggalakkan orang ramai terutama persatuan tanpa mengira latar belakang untuk memerangi rasuah.

"Ini antara komitmen murni PFP dalam usaha memerangi rasuah, dan merupakan parti politik pertama di negeri ini yang menandatanganinya" katanya.

Beliau berkata, sehingga hari ini sejumlah 1,069 organisasi daripada pelbagai latar belakang sudah menandatangani IBR.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2018 @ 6:18 PM