KIRA-KIRA 150 kakitangan Jabatan Alam Sekitar Johor termasuk Pengarahnya, Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah. FOTO ihsan SPRM
KIRA-KIRA 150 kakitangan Jabatan Alam Sekitar Johor termasuk Pengarahnya, Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah. FOTO ihsan SPRM
Izlaily Nurul Ain Hussein


JABATAN Alam Skitar (JAS) Negeri Johor menjadi JAS pertama di Malaysia yang menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dalam usaha memerangi gejala rasuah.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor, Datuk Azmi Alias berkata, JAS negeri ini menzahirkan komitmen itu dengan kira-kira 150 kakitangan jabatan berkenaan termasuk Pengarahnya, Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh melafaz dan menandatangani IBR, hari ini.

Beliau berkata, tindakan itu adalah satu manifestasi kepada sokongan dan komitmen berterusan jabatan berkenaan untuk menjadikan negara bebas daripada dibelenggu jenayah rasuah dan salah guna kuasa.

"Majlis tandatangani IBR oleh JAS negeri ini secara tidak langsung diyakini menjadi pembakar semangat kepada seluruh warga kerja SPRM untuk terus berjuang dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab dalam memerangi jenayah rasuah dan salahguna kuasa secara habis-habisan," katanya ketika berucap pada majlis Melafaz dan Menandatangani IBR di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, Johor.

Majlis melafaz dan menandantangani IBR itu diketuai Mohammad Ezanni dengan disaksikan Azmi.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat serta Timbalan Ketua Pengarah Operasi JAS Malaysia, Mokhtar Abdul Majid.

IBR adalah satu inisiatif baharu yang diperkenalkan SPRM untuk memastikan setiap individu yang menandatangani ikrar berkenaan lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas mereka.

Menurut Azmi, SPRM Johor juga pernah mengadakan perbincangan bersama wakil JAS negeri sebelum ini sebagai satu langkah positif bagi menjalinkan satu rangkaian kerjasama strategik lebih erat selain meningkatkan integriti dan menjadi contoh kepada agensi kerajaan lain khususnya di Johor dalam memerangi anasir rasuah dan salahguna kuasa.

Sementara itu, Mohammad Ezanni turut memberitahu bahawa lafaz IBR itu penting dilaksanakan semua organisasi bagi memastikan setiap individu faham dengan jelas kepentingan integriti dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

Katanya, adalah penting untuk setiap individu mengetahui kemudaratan yang mungkin berlaku sekiranya amalan integriti tidak didasari daripada peringkat akar umbi.

Beliau berharap, semua JAS di lain-lain negeri serta Kementerian turut mengambil langkah yang sama dalam usaha membasmi gejala rasuah dan salahguna kuasa.

Pada masa sama, Ayub turut memuji langkah yang diambil oleh JAS negeri dalam melafaz dan menandatangani IBR.

“Kita mahu melihat warga kerja kita melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan supaya dengan itu dapat dihasilkan kualiti kerja yang terbaik,” ujarnya.

Ihsan SPRM

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2017 @ 5:27 PM