ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berusaha mencari seorang lelaki selepas terjun dari jambatan setinggi sepuluh meter ke Sungai Imbak, di Tongod, Kinabatangan. FOTO Ihsan APM
ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berusaha mencari seorang lelaki selepas terjun dari jambatan setinggi sepuluh meter ke Sungai Imbak, di Tongod, Kinabatangan. FOTO Ihsan APM
Hazsyah Abdul Rahman


LELAKI yang dilaporkan terjun dari jambatan Sungai Imbak, Tongod, Kinabatangan, kelmarin, ditemui lemas pagi tadi.

Mayat Jos Kondomor, 50-an, ditemui terapung oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada 6.43 pagi, tidak jauh dari lokasi dia dilaporkan terjun petang kelmarin.

Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Khatizah Rahaban berkata, berikutan penemuan mayat itu, operasi SAR ditamatkan pada 10.45 pagi.

"Operasi SAR hari ini membabitkan seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan serta anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan.

"Sepanjang operasi, kaedah penyelaman turut dilakukan berikutan keadaan air sungai yang keruh. Mayat lelaki terbabit kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Telupid, Leftenan Amrin Amirun berkata, lelaki berkenaan dilaporkan terjun dari jambatan Sungai Imbak pada 5.30 petang, kelmarin.

"Lelaki berkenaan menuju ke lokasi dan tiba-tiba terjun dari jambatan setinggi lebih 10 meter. Bagaimanapun, dia tidak timbul sehinggalah kejadian dilaporkan kepada pasukan penyelamat dan SAR dilancarkan.

"Ketika kejadian, ada individu melihat lelaki terbabit terjun lalu hilang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2018 @ 2:31 PM