TAN didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Taiping selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan penyambungan bekalan air yang menyalahi undang-undang. FOTO Ihsan SPAN
TAN didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Taiping selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan penyambungan bekalan air yang menyalahi undang-undang. FOTO Ihsan SPAN
Mohd Hafizee Mohd Arop


PENGUSAHA kilang ais didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Taiping, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan penyambungan bekalan air yang menyalahi undang-undang bagi kegunaan harian pekerja syarikat itu, empat tahun lalu.

Tertuduh Tan Siong Pyik, 52, pemilik kilang Siong Pyik Sdn Bhd yang kini dikenali sebagai Vege2fresh Trading Sdn Bhd membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Noralashiken Abd Razak.

Mengikut pertuduhan, kesalahan dilakukan tertuduh disedari pada 10.30 pagi 12 Disember 2014 sebaik pegawai Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) membuat pemeriksaan susulan aduan yang diterima.

Syarikat berkenaan didapati melakukan suatu sambungan terus dari paip air perkhidmatan Lembaga Air Perak (LAP) dengan menggunakan paip ‘stainless steel’ bersaiz 20 mililiter.

Ia disambungkan ke satu paip jenis poly bersaiz 20 mililiter ke premis terbabit dan sambungan itu dibuat secara terus tanpa melalui sebarang meter.

Bagi kesalahan itu, Tan didakwa mengikut Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 123(3) akta yang sama.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa SPAN Mohd Helmy Razelan dan Shariful Azman Mustapa Yahya, manakala tertuduh diwakili peguam K Nathan.

Sementara itu, menerusi kenyataan media dikeluarkan SPAN, kes itu diharap dapat meningkatkan kesedaran awam mengenai kesalahan mencuri air dan penyambungan tidak sah sebagai usaha mencegah kegiatan tidak bertanggungjawab.

SPAN berharap orang ramai akan memberikan kerjasama dengan melaporkan kes seperti itu kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan SPAN di talian 03-83179333 atau emel ke [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2018 @ 5:37 PM