Mohamed Azmin
Mohamed Azmin
Rafidah Mat Ruzki


KEKECOHAN isu pembahagian kerusi kawasan pilihan raya Selangor bukan satu perkara yang besar, tegas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau malah yakin semua rakan sekutu dalam pakatan pembangkang itu bersatu bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Beliau juga mengadakan pertemuan dengan Pengarah Strategik Parti Amanah Negara (PAN), Dr Dzulkefly Ahmad hari ini untuk membincangkan penyelesaian kepada isu yang ditimbulkan.

Timbalan Presiden PKR itu juga yakin isu membabitkan pembahagian kerusi kawasan pilihan raya di Selangor akan dapat diselesaikan dengan baik.

"Tadi saya bersama Dr Dzul selama dua setengah jam untuk melihat apa penyelesaian yang baik.

"Saya tidak melihat ia satu perkara yang besar dan perlu saya katakan, mereka sangat menyokong dalam PH untuk menyelesaikan isu ini dengan baik kerana hasrat semua adalah untuk mempertahankan kemenangan Selangor.

"Bukan saja mendapat kemenangan biasa tetapi dengan sokongan yang meyakinkan," katanya kepada pemberita, hari ini.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata masih ada masa lagi untuk membincangkan mengenai pengagihan kerusi kawasan pilihan raya di negeri itu berikutan tarikh Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) belum diputuskan lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2018 @ 10:30 PM