Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
Fahmy Azril Rosli

TEMPOH pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kalangan parti-parti sekutu Pakatan Harapan (PH) masih berlarutan sekali gus tersasar daripada beberapa tarikh awal yang ditetapkan oleh Majlis Presiden.

Sejak tahun lalu lagi sudah pun terdengar suara dalam kalangan kepimpinan pakatan pembangkang yang mahu kemelut pembahagian kerusi DUN diselesaikan.

Namun, ia masih tidak dapat diselesaikan sekali gus berlarutan sehingga Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin menetapkan semula tempoh sehingga akhir Januari lalu supaya sekutu-sekutu pembangkang menyelesaikan isu calon dan pengagihan kerusi dengan segera.

Namun, arahan itu gagal juga dipatuhi.

Susulan itu Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamed yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pula tampil membuat kenyataan mahukan isu pembahagian kerusi DUN antara parti diselesaikan selewat-lewatnya 23 Februari lalu.

Terbaharu, Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (PAN), Mohd Anuar Mohd Tahir pula berkata, kemungkinan tempoh itu akan berlarutan iaitu dijangkakan sehingga Rabu depan.

Katanya, ini kerana masih ada beberapa pembahagian kerusi DUN membabitkan sekurang-kurangnya

empat negeri yang belum selesai.

"Antaranya Selangor, Kelantan, Terengganu dan kalau tak silap saya Melaka. Kadang-kadang, bila tak selesai itu cuma membabitkan satu kerusi, kadang-kadang dua kerusi. Biasalah, semua pihak yakin apabila dia pegang kawasan itu dia rasa boleh capai kemenangan, termasuk penyandang.

"Soal faktor win-abilitiy (boleh menang) agak subjektif. Tetapi, mengenai calon itu, biar parti masing-masing akan tetapkan. Yang penting sekarang adalah pembahagian penuh kerusi, biar ini selesai terlebih dahulu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bercakap mengenai agihan kerusi di Sarawak dan Sabah, Mohd Anuar berharap PAN dapat bertanding di enam kerusi di Sarawak, manakala di Sabah pula sekurang-kurangnya dua kerusi.

Ketika ini, pihaknya masih lagi berunding dengan parti pembangkang di negeri berkenaan antara Parti Warisan Sabah (Warisan) di Sabah.

"Tapi kalau boleh, pentingnya untuk seimbangkan semua pihak supaya semua berpuas hati secara dasarnya. Kalau tak selesai sekalipun, masih ada waktu. Sebab tak nampak tarikh (tepat) bila nak dibubarkan Parlimen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Mac 2018 @ 4:01 PM