Mohd Shafuan Khairi


POLIS memburu suspek menyamar sebagai pegawai polis untuk memperdaya mangsa dalam kes Macau Scam di Kelantan.

Ketua Siasatan Jenayah Komersial Kelantan, Superintendan Mohamed Zulmazi Che Daud, berkata polis menerima aduan terbaharu daripada pesara kerajaan berusia 62 tahun mendakwa ditipu sebanyak RM224,800.53.

"Dalam kejadian pada 30 Januari lalu, mangsa mendakwa menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki dipercayai ahli sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah.

"Lelaki itu memberitahu bahawa mangsa yang berasal dari Kota Bharu terbabit dalam penggubahan wang haram dan wang itu sudah dimasukkan ke dalam akaun Bank Islam mangsa.

"Mangsa diminta mengeluarkan semua wang dari akaun Tabung Haji dan masukkan ke dalam akaun Bank Islam.

“Kerana percaya akan kata-kata lelaki itu, mangsa memindahkan wang sebanyak RM224,800.53 secara berulang sebanyak empat kali ke akaun terbabit," katanya.

Zulmazi berkata, mangsa menyedari wang yang dipindahkan itu tiada dan percaya suspek sudah mengambil wang itu.

"Mangsa kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Menurutnya, statistik kes Macau Scam di negeri ini sangat membimbangkan apabila merekodkan sebanyak 116 kes pada bulan lalu sahaja berbanding 12 kes yang direkodkan pada tempoh sama tahun lalu.

"Berdasarkan statistik ini, kita dapat melihat peningkatan mendadak dan membimbangkan.

"Oleh itu, polis menasihatkan orang ramai sentiasa peka dengan panggilan yang mencurigakan dan menamatkan segera panggilan itu untuk mengelakkan terjerat dengan perangkap Macau Scam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2018 @ 5:39 PM