Mohamed Zulmazi (tengah) menunjukkan statistik kes sindiket Macau Scam dalam sidang media di IPK Kelantan hari ini. FOTO Md Faris Zainulddin
Mohamed Zulmazi (tengah) menunjukkan statistik kes sindiket Macau Scam dalam sidang media di IPK Kelantan hari ini. FOTO Md Faris Zainulddin
Muhamaad Razis Ismail


PESARA berusia 60 tahun di Tanah Merah kerugian RM40,000 selepas diperdaya sindiket penipuan Macau Scam, bulan lalu.

Lebih menyedihkan wang itu adalah simpanan lelaki itu untuk membeli rumah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kelantan, Superintendan Mohamed Zulmazi Che Daud berkata, sebelum itu mangsa menerima panggilan telefon dari sebuah bank yang mendakwa dia memiliki tunggakan pinjaman.

Katanya, 'pegawai bank' itu meminta tunggakan dijelaskan segera atau pihak bank akan mengeluarkan waran tangkap dan dia kemudian disambungkan kepada 'polis' dari Bukit Aman iaitu Inspektor Hisyam untuk menyelesaikan kes itu.

"Pegawai polis yang menyamar itu memberitahu mangsa terbabit dengan sindiket pengubahan wang haram sebelum bertanya mengenai jumlah wang di dalam akaunnya.

"Mangsa memaklumkan memiliki wang simpanan berjumlah RM60,000 dan dia diminta memasukkan RM40,000 ke dalam akaun suspek untuk menyelesaikan kes itu.

"Lelaki itu yang ketakutan terus memasukkan wang ke dalam akaun suspek sebelum menyedari dia diperdaya," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan hari ini.

Menurutnya, sebaik menyedari ditipu, mangsa membuat laporan polis di balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Menurutnya, jumlah kerugian itu adalah yang tertinggi pernah dicatatkan di negeri ini daripada 19 kes yang direkodkan pada tahun ini.

"Pada tahun ini, kita merekodkan jumlah kerugian RM313,090.60 dalam kes macau scam ini berbanding empat kes dengan kerugian RM162,490.99 tahun lalu.

"Oleh itu, kita harapkan orang ramai supaya lebih berwaspada terutama menerima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali dan yang terbaru daripada Pos Malaysia Berhad kononnya meminta mengambil barang di pejabat pos sebelum meminta nombor kad pengenalan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2017 @ 6:17 PM