GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Fazrik Kamarudin


BAHAGIAN Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Wangsa Maju menahan jururawat persendirian selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan dadah di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, wanita berusia 27 tahun itu ditahan di tepi jalan di hadapan rumah di Jalan Wangsa Budi 11, kira-kira 9 pagi.

"Ketika pemeriksaan terhadap suspek, anggota polis menemui beg kertas yang dipegang oleh suspek mengandungi lapan ketulan mampat serta leraian daun-daun kering yang disyaki dadah jenis ganja.

"Ia dianggarkan seberat 255.49 gram bernilai lebih kurang RM850, suspek kemudian ditahan untuk ujian saringan air kencing dan siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan.

Roy berkata, keputusan ujian air kencing suspek didapati positif dadah jenis THC.

"Selain daripada lapan ketulan dipercayai ganja yang ditemui pada suspek, polis turut menemui satu botol kaca berwarna kuning, papan plastik warna putih serta sebilah pisau disyaki untuk tujuan pembungkusan dan peralatan menghisap dadah.

"Pemeriksaan lanjut terhadap identiti suspek tidak menemui sebarang rekod jenayah lampau.

"Hasil soal siasat, suspek mendakwa dia mengambil bekalan dadah dengan seorang lelaki di kawasan Kota Damansara dan sudah berurusan sejak lima bulan lalu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2018 @ 10:40 AM