Mohd Roy menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Mohd Hasbi Sidek
Mohd Roy menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Mohd Hasbi Sidek
Mohd Hasbi Sidek

Kuala Lumpur: Tiga lelaki berusia 29 hingga 43 tahun disyaki pengedar dadah ditahan di rumah di Seksyen 2, Wangsa Maju, di sini, Isnin lalu, bersama pelbagai dadah dianggarkan bernilai RM25,000.

Serbuan dilakukan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Wangsa Maju kira-kira jam 4 petang.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintenden Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, ketika serbuan ketiga-tiga lelaki tempatan itu berada dalam rumah berkenaan.

"Pemeriksaan lanjut ke atas suspek pertama dan ketiga menemui 15 paket ketulan kristal disyaki syabu, empat paket disyaki ketamin dan 88 pil dipercayai eramin 5.

"Polis juga menemui satu kotak kecil, satu beg kecil dan 22 botol kecil yang mengandungi dadah jenis syabu, 24 paket serbuk disyaki syabu, tiga paket serbuk disyaki heroin serta enam paket daun mampat disyaki ganja selepas memeriksa rumah berkenaan," katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek didapati positif dadah jenis ganja.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2016 @ 3:27 PM