ANTARA dadah yang dirampas. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA dadah yang dirampas. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Hasbi Sidek


DUA lelaki dan seorang wanita ditahan polis bersama empat paket mengandungi serbuk, 15 pil dan 12 botol minuman berperisa disyaki dadah jenis ekstasi di Seri Kembangan, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias berkata, jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM6,000.

‎"Hasil maklumat risikan yang dilakukan pihak Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Serdang, kami menahan seorang lelaki berusia lingkungan 20-an di kawasan Taman Sungai Besi Indah, Seri Kembangan.

‎"Kami merampas sejumlah empat paket berwarna perak menyerupai serbuk minuman disyaki mengandungi serbuk dadah jenis ekstasi seberat 55.60 gram," katanya.

‎Beliau berkata, berikutan tangkapan itu, hasil soal siasat yang dijalankan, membawa kepada penahanan seorang lelaki dan seorang wanita berusia sekitar 20-an pada tarikh yang sama di Kawasan Seri Kembangan.

‎"Kami menemui sebanyak 15 pil pelbagai warna disyaki dadah jenis ekstasi dan 12 botol minuman berperisa anggur serta teh limau ais yang disyaki dicampur dengan serbuk ekstasi berjumlah 6000 mililiter (ml).

‎"Turut dirampas Perodua Kancil dan Perodua Bezza disyaki digunakan bagi tujuan pengedaran dadah.

‎"Nilai pasaran rampasan dadah adalah dianggarkan RM6,000," katanya.

‎Menurutnya, kes disiasat mengikut seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

‎"Saya menasihatkan kepada orang ramai khususnya golongan muda supaya berhati-hati dengan taktik pengedaran dan penggunaan dadah seumpama ini di premis-premis hiburan.

‎"Saya juga menegaskan bahawa pihak BSJND Serdang akan terus menggiatkan risikan dan pengumpulan maklumat bagi membasmi pengedaran dan penggunaan sebarang jenis dadah. Maklumat daripada orang awam adalah dialu-alukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2018 @ 8:37 PM