KAKI judi yang ditahan dalam serbuan polis di Taman Mahsuri Indah, Tanjung Karang, semalam. FOTO Ihsan PDRM
KAKI judi yang ditahan dalam serbuan polis di Taman Mahsuri Indah, Tanjung Karang, semalam. FOTO Ihsan PDRM
Iskandar Shah Mohamed


KELICIKAN pengusaha judi dalam talian berselindung di sebalik sebuah pasar mini di Taman Mahsuri Indah, Tanjung Karang tidak bertahan lama apabila diserbu polis, malam tadi.

Difahamkan, 'markas' yang beroperasi sejak tiga minggu lalu di belakang premis itu hanya menawarkan penggunaan tablet kepada pelanggan untuk membuat taruhan.

Nilai taruhan minimum dikatakan berjumlah RM10 bagi setiap jenis judi yang dipilih sebelum kaki judi diberikan 'kata laluan' selepas bayaran itu dibuat kepada penjaga.

Taktik itu bagaimanapun berjaya dihidu sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor yang menyerbu premis itu, jam 11.45 malam.

Pegawai Turus D7 negeri Deputi Superintendan Norhizam Bahaman berkata, serbuan menerusi Ops Jol itu dijalankan hasil maklumat dan risikan mengenai aktiviti haram berkenaan.

“Ketika serbuan, seramai empat lelaki tempatan didapati sedang leka berjudi di dalam premis yang berada di bahagian belakang pasar mini berkenaan.

“Selain itu, kita menahan dua wanita warga Indonesia yang juga penjaga premis dan dua pekerja lelaki termasuk seorang warga asing.

“Kita turut merampas tujuh tablet, tiga modem komputer, satu perakam video digital dan wang tunai kira-kira RM640," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati premis berkenaan turut tidak mempunyai lesen perniagaan.

Pada masa sama, Norhizam berkata, pihaknya sebelum itu menyerbu sebuah rumah di Bagan Pasir, Tanjung Karang yang turut dijadikan sebagai premis perjudian.

“Ia membawa kepada penahanan seorang pelanggan lelaki dan dua wanita warga Indonesia yang juga penjaga premis," katanya.

Menurutnya, semua individu berusia 30 hingga 50 tahun yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 April 2018 @ 6:27 PM