AHLI sindiket judi dalam talian dan bookie bola antarabangsa yang ditahan.
AHLI sindiket judi dalam talian dan bookie bola antarabangsa yang ditahan.
Safeek Affendy Razali


SATU sindiket judi dalam talian dan bookie bola antarabangsa yang menjadikan ‘kaki judi’ di China sebagai pelanggan tumpas dalam serbuan ke atas sebuah premis di Balakong, Kajang, tengah malam tadi.

Serbuan dijalankan di premis perniagaan di Dataran C 180, Balakong oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Selangor, dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kajang, hasil pemantauan dan risikan sejak seminggu lalu.

Siasatan mendapati sindiket judi antarabangsa mirip penipuan ala Macau Scam itu beroperasi di negara ini bagi mengelak kegiatan dikesan pihak berkuasa China.

Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Norhizam Bahaman berkata, enam warga China membabitkan tiga lelaki dan tiga wanita yang juga penjaga premis serta pengendali pertaruhan ditahan dalam serbuan itu.

“Mereka berperanan mengambil pertaruhan daripada kaki judi di China sebelum memasukkan kredit dengan jumlah tertentu untuk kaki judi membuat pertaruhan, dipercayai membabitkan nilai mencecah ratusan ribu bagi setiap perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL).

“Malah, sindiket sama turut mengendalikan pertaruhan bagi perlumbaan kuda dan perjudian dalam talian," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, malam tadi.

Norhizam berkata, wang pertaruhan akan dimasukkan dalam akaun bank milik sindiket di China manakala ahli sindiket di negara ini menerima pertaruhan.

“Dengan menjadikan Malaysia sebagai pusat pengendalian penerimaan pertaruhan, pihak polis di China sukar mengesan kegiatan sindiket ini.

“Kita mengalu-alukan maklumat orang ramai jika mengesan kegiatan mencurigakan seperti ini," katanya.

Dalam operasi berkenaan, pihak D7 Selangor merampas 13 unit komputer riba, lapan unit telefon bimbit serta empat unit modem.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 10:59 AM