SHAMSULKAHAR menyampaikan sumbangan peralatan sekolah di SMK Yam Tuan Radin, semalam.
SHAMSULKAHAR menyampaikan sumbangan peralatan sekolah di SMK Yam Tuan Radin, semalam.
Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Ibu bapa di negeri ini diminta tidak memalukan pelajar kerana tidak membayar yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pendidikan dan Kesihatan negeri, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli berkata, ramai dalam kalangan ibu bapa tidak mengambil tahu mengenai yuran berkenaan.

Katanya, sumbangan ke tabung PIBG penting bagi menguruskan pembelajaran pelajar selain melaksanakan program pendidikan.

“Saya seru ibu bapa supaya bayarlah yuran PIBG, bukannya banyak pun. Kasihani anak-anak kerana mereka malu sebaik guru kerap meminta membayar yuran,” katanya selepas menyempurnakan Mesyuarat Agung PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yam Tuan Radin di sini, semalam.

Turut hadir, pengetua sekolah, Arif Afandi Ariffin dan Yang Dipertua PIBG sekolah itu, Nazaruddin Abd Hadi.

Shamsulkahar berkata, kadangkala ada dalam kalangan guru meminta pelajar membayar yuran PIBG ketika perhimpunan.

“Kita faham pelajar malu, maka ibu bapa yang harus melunaskannya. Malah, ibu bapa yang berkemampuan disaran menyumbang lebih untuk memudahkan pihak sekolah mengatur program,” katanya.

Beliau berkata, di pihak kerajaan pelbagai bantuan disalurkan termasuk yuran pendidikan percuma, buku teks dan guru terlatih.

“PIBG adalah sebahagian pihak yang membantu dalam pembelajaran, malah merencanakan masa depan pelajar. Oleh itu marilah sama-sama membantu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2018 @ 5:46 AM