P KAMALANATHAN
P KAMALANATHAN
Hayati Ibrahim

Putrajaya: Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah tidak akan melanggar hak privasi guru dan murid, sebaliknya ia akan diletakkan di kawasan biasa untuk memantau perbuatan jenayah dan mengawal keselamatan sekolah.

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P Kamalanathan berkata, kementerian juga senada dan sependapat dengan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) supaya pemasangan CCTV ini tidak mengganggu privasi guru, murid dan pelajar.

“Kami tidak akan melanggar privasi, ia dipasang di kawasan biasa, (tetapi) sudah tentu kami akan bincang perkara ini (pemasangan CCTV) dengan pengurusan sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) terlebih dulu.

“Kami (kementerian) tidak boleh mengambil tindakan sesuka hati, kena ada perbincangan mendalam dengan sekolah khususnya PIBG, biar mereka membuat keputusan dan kami akan laksanakan,” katanya pada sidang media Program Rintis Pelaksanaan Matapelajaran Kesusasteraan Tamil, di sini, semalam.

Presiden NUTP Kamarozaman Abd Razak dipetik berkata, NUTP menyambut baik usaha memasang CCTV sekolah, namun berharap tindakan itu tidak mengganggu privasi pelajar dan guru.

Beliau dilaporkan berkata, lokasi pemasangan CCTV sewajarnya tidak menceroboh privasi pelajar dan guru seperti dalam bilik darjah, bilik guru, kawasan tandas dan bilik khas untuk pertemuan guru serta ibu bapa.

Kamalanathan berkata, kementerian kini dalam proses mengenal pasti sekolah yang akan dipasang CCTV berdefinisi tinggi (HD), terutama yang terletak di kawasan panas.

“Ada sekolah yang menyediakan CCTV ini menerusi inisiatif pihak sekolah dan PIBG, usaha ini kami sangat alu-alukan demi keselamatan anak dan tertakluk kepada kemampuan kewangan sekolah masing-masing.

“Tetapi kami di kementerian memang dalam proses mengenal pasti sekolah yang akan kami bantu untuk melaksanakan pemasangan CCTV dalam sekolah, terutama di kawasan panas.

“Apabila senarai sudah dimuktamadkan kami akan maklum,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, buat kali pertama dalam sejarah pendidikan negara, kurikulum disediakan bagi mata pelajaran Kesusasteraan Tamil, sekali gus menarik lebih ramai pelajar untuk mengambil mata pelajaran itu.

Katanya, ketika ini Kesusasteraan Tamil dilaksanakan sebagai silibus peperiksaan dan dijadikan sebagai mata pelajaran peperiksaan saja.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2018 @ 3:55 AM