Anggota RELA membantu murid melintas jalan rayadi hadapan SK Setiawangsa.
Anggota RELA membantu murid melintas jalan rayadi hadapan SK Setiawangsa.
Intan Mas Ayu Shahimi

Kuala Lumpur: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di semua sekolah perlu lebih agresif melaksanakan tanggungjawab sebagai kumpulan sokongan, terutama dalam meningkatkan aspek keselamatan pelajar.

Ahli Jawatankuasa Induk Sekolah Kebangsaan (SK) Setiawangsa yang juga anggota Kumpulan Penggerak Sarana Kebangsaan (KPSK), Shahpandi Abdul Manan berkata, stigma ibu bapa ‘terpaksa’ membayar lebih untuk mendapatkan khidmat keselamatan bagi anak-anak perlu diketepikan, apalagi ia berkait risiko culik serta kemalangan maut.

“Kita sedia maklum dengan kes pelajar dilarikan di Cheras baru-baru ini serta kemalangan maut membabitkan tiga murid di tiga sekolah berasingan sejak minggu lalu.

“Daripada menuding jari kepada pihak berkaitan, ada baiknya jika PIBG sekolah mengambil langkah agresif dengan mengupah anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bagi membantu memantau keselamatan murid.

“Saya percaya, majoriti ibu bapa tidak berkira dengan yuran tahunan tambahan sekitar RM15 untuk keselamatan anak-anak,” katanya.

Beliau ditemui Harian Metro ketika tinjauan rambang di beberapa sekolah sekitar ibu kota, semalam.

Berkongsi pengalaman mendapatkan khidmat RELA untuk keselamatan murid SK Setiawangsa, Shahpandi berkata, inisiatif mengadakan anggota RELA bermula sejak 2014.

“Apabila kerajaan memperkenalkan Sarana Ibu Bapa dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) pada 2013, kita (PIBG SK Setiawangsa) mengambil inisiatif mewujudkan kumpulan sokongan ibu bapa.

“Antara agenda utama kita ketika itu wujudkan program sukarela ibu bapa untuk membantu mengawal lalu lintas di kawasan sekolah.

“Namun, selepas dua minggu sesi persekolahan bermula, kita mengambil keputusan untuk mendapatkan khidmat RELA yang lebih teratur,” katanya.

Jelas Shahpandi, sehingga kini, PIBG SK Setiawangsa masih mengekalkan yuran tambahan RM15 setahun kepada 1,600 ibu bapa bagi tujuan mengupah anggota RELA.

“Kita buat kutipan satu keluarga RM15 dan memperoleh sekitar RM23,000 setahun untuk khidmat tiga anggota RELA di semua pintu masuk sekolah.

“Apa yang kita bangga, ibu bapa pelajar di sini tidak pernah merungut untuk membayar caj RM15 setahun, malah ada yang bertanya sama ada perlu ditingkatkan bagi memperbaiki beberapa kelemahan lain berkait keselamatan murid.

“Justeru, kita mahu mencadangkan kepada kementerian berkaitan supaya melihat keperluan anggota RELA di setiap sekolah secara serius.

“Jika perlu, mungkin kerajaan boleh menimbangkan kadar subsidi atau menanggung perbelanjaan bagi sekurang-kurangnya seorang anggota RELA di setiap sekolah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2016 @ 9:00 AM