GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


BERANG permintaannya tidak dipenuhi, lelaki mengamuk dan mengugut untuk membunuh ahli keluarganya di rumah dekat Sungai Dua, Butterworth, semalam.

Dalam kejadian 1 pagi itu, lelaki berusia 32 tahun dikatakan meminta wang daripada ahli keluarganya untuk membeli bekalan dadah.

Bagaimanapun, permintaannya itu tidak diendahkan hingga suspek mengamuk dan memecahkan pelbagai barangan di dalam rumah didiami mereka.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, adik perempuan suspek yang berada dalam ketakutan memaklumkan kejadian itu kepada polis.

"Menurut adik perempuan suspek, ketika kejadian dia berada bersama kakak dan bapanya tidak mahu memenuhi permintaan abangnya yang mahukan wang untuk membeli dadah.

"Akibat ketakutan selepas abangnya mengamuk dan mengugut untuk membunuh mereka sekeluarga termasuk berbuat sesuatu kepada anaknya, adik perempuan suspek memaklumkan kejadian ini kepada polis untuk memberkas abangnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati dia positif dadah.

"Siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes kekerasan dan dadah.

“Suspek kini ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2018 @ 1:58 PM