GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


BERANG kerana permintaannya untuk mendapatkan wang dipercayai bagi membeli dadah tidak dilayan seorang lelaki mengugut adik perempuannya menggunakan gunting dan pemutar skru dalam kejadian di Ajil, Kuala Berang, semalam.

Kejadian 3.30 pagi berlaku ketika mangsa berusia 36 tahun berada di rumah sebelum didatangi suspek berusia 38 tahun untuk meminta wang.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, mangsa bagaimanapun tidak mengendahkan permintaan suspek menyebabkan lelaki terbabit berang.

Beliau berkata, suspek kemudian mengambil gunting dan pemutar skru lalu mengacukan senjata tajam itu ke arah mangsa sambil meminta wang.

“Siasatan mendapati pihak keluarga pernah menghantar lelaki itu untuk menjalani rawatan pemulihan dadah.

“Susulan kejadian mangsa yang bimbang keselamatan diri dan ahli keluarga lain membuat laporan di Balai Polis Ajil untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, usaha mengesan suspek sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2019 @ 5:22 PM