Mercun yang dirampas PPM Wilayah Dua Johor. FOTO/ Ihsan PPM
Mercun yang dirampas PPM Wilayah Dua Johor. FOTO/ Ihsan PPM
Mohd Sabran Md Sani

PASUKAN Polis Marin (PPM ) Wilayah Dua Johor menahan lelaki berusia 29 tahun serta merampas pelbagai jenis mercun yang dianggarkan bernilai RM18,400 dalam serbuan menerusi Op Landai, di Kampung Baru Renggam, Kluang, Johor petang semalam.

Komander PPM Wilayah Dua Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, suspek ditahan sepasukan tujuh anggota PPM bersama tiga anggota Balai Polis Simpang Renggam di sebuah stor pada 4.30 petang.

“Dalam operasi itu, stor yang dijadikan tempat menyimpan mercun diserbu oleh sepasukan pegawai dan anggota PPM Wilayah Dua.

“Dalam serbuan itu, anggota berjaya merampas pelbagai jenis mercun yang disimpan di dalam stor dengan harga mengikut pasaran tempatan,” katanya.

Katanya, suspek tempatan yang disyaki sebagai penjaga stor ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Bahan Letupan 1957.

“PPM akan mempertingkatkan operasi bagi membendung kegiatan penjualan dan penyeludupan barang terlarang di samping menguatkuasa semua undang-undang jenayah,” katanya.

Beliau berkata, tindakan menyerbu stor itu hasil maklumat diterima unit risikan Marin (URM) PPM Wilayah Dua sempena Op Landai semalam.

“Dengan bantuan tiga anggota Balai Polis Renggam, serbuan dilakukan di stor dalam kawasan sebuah rumah.

“Hasil pemeriksaan dengan memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan polis, anggota membuat pemeriksaan ke atas stor itu sambil disaksikan oleh orang yang disaman (OYDS).

“Hasil daripada pemeriksaan menyeluruh akhirnya menemui sejumlah kotak disyaki pelbagai jenis mercun disimpan di dalam stor terbabit bernilai RM18,400,” katanya.

Beliau berkata OYDS dan barang rampasan dibawa ke PPM Wilayah Dua Tampoi untuk proses dokumentasi.

Antara barang rampasan termasuk 10 biji mercun TT8138, 160 kotak mercun SKA W667P, 96 bungkus mercun E 0529R-10 dan 32 biji mercun TT4049.

Turut ditemui 60 kotak mercun 0977, 60 kotak mercun 0901C, 24 kotak mercun SK16, dua biji mercun MK-0235.

Selain itu, 48 biji mercun SKC 2520, empat biji mercun HR 851, 40 papan mercun RR 078, 39 kotak mercun EW 301 dan sembilan biji mercun NO.25x2, enam biji mercun TT4138 dan dua biji mercun 3011.

Katanya, tindakan mengikut Akta Bahan Letupan 1957 dan OYDS bersama barang kes diserahkan kepada pegawai penyiasat jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2018 @ 4:19 PM