WAN Abdillah (kanan) berbual dengan penerima baucar Tabung Bencana NSTP-Media Prima di Pusat Penempatan Sementara Pertubuhan Peladang Kawasan  Endau. FOTO Zul Ikhwan Muhammad
WAN Abdillah (kanan) berbual dengan penerima baucar Tabung Bencana NSTP-Media Prima di Pusat Penempatan Sementara Pertubuhan Peladang Kawasan Endau. FOTO Zul Ikhwan Muhammad
Zul Ikhwan Muhammad


SERAMAI 280 keluarga menerima bantuan disumbangkan Tabung Bencana NSTP-Media Prima, hari ini dalam misi bantuan kepada mangsa banjir di Mersing, Johor dan Rompin, Pahang.

Misi disertai Briged Sukarelawan Media Prima-NSTP bersama Pejabat Daerah Mersing, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Mersing serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) itu diketuai Ketua Komunikasi Korporat NSTP, Wan Abdillah Wan Nawi.

Hadir sama, Penolong Pegawai Daerah Mersing Mohammad Izzuddin Ibrahim, Pegawai APM Mersing, Kapten (PA) Nurnajibah Abdullah dan Pemangku Pegawai JKM Mersing Mohd Zamri Ismail.

Wan Abdillah berkata, pihaknya mengagihkan baucar bernilai RM200 kepada setiap keluarga yang boleh digunakan untuk keperluan selepas pulang ke rumah masing-masing selepas dilanda bencana alam itu, baru-baru ini.

Beliau berkata, penyerahan terus kepada mangsa banjir di dua dearah itu adalah hasil sumbangan orang ramai melalui TabungBencana NSTP-Media Prima.

Katanya, penyerahan dibuat di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Endau, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tenglu, PPS Balai Raya Kampung Benaung, PPS Kampung Air Merah, PPS Sekolah Agama Pengakalan Batu dan PPS Balai Raya Taman Nahkoda 1.

"Selain itu penyerahan bantuan turut diberikan kepada mangsa banjir di Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Rompin," katanya.

Wan Abdillah berkata, pihaknya prihatin dan terharu apabila sumbangan dapat disalurkan kepada setiap keluarga bagi membantu meringankan beban apabila banyak peralatan rumah mengalami kerosakan.

"Kita berterima kasih kepada orang ramai yang sudi menyumbang melalui Tabung Bencana NSTP-Media Prima yang dapat disampaikan terus kepada mangsa banjir di Mersing dan Rompin ini," katanya.

Seorang penerima, Zahara Mohd Zin, 83, yang juga mangsa banjir di Kampung Kelantan Teluk Lipat, Endau berkata, dia terharu dengan sumbangan orang ramai itu.

Katanya, bantuan itu sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban kerugian yang terpaksa ditanggung akibat bencana banjir yang melanda baru-baru ini.

"Syukur dan terima kasih diucapkan kerana ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan bagi meringankan beban kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2018 @ 7:28 PM