Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: Media Prima Berhad menyerahkan sebanyak 700 kit kebersihan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu, semalam.

Kit kebersihan yang mengandungi pelbagai barangan penjagaan diri termasuk cecair pensanitasi tangan, sabun, ubat-ubatan, berus gigi, syampu, serta tuala wanita bernilai RM150 itu akan diagihkan oleh JKM kepada mangsa bencana termasuk penduduk yang terjejas banjir di negeri ini.

Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Dr Syed Hussian Aljunid, berkata bantuan kit penjagaan diri itu hasil daripada sumbangan orang ramai kepada Tabung Bencana NSTP-Media Prima.

"Kami akan menyalurkan sumbangan yang diterima melalui tabung itu segera bagi membantu meringankan beban mangsa-mangsa banjir yang terkesan di beberapa daerah di negeri ini.

"Terima kasih kepada masyarakat dan penyumbang kerana sentiasa prihatin terhadap musibah yang melanda rakyat.

"Kami harap kepercayaan terus diberikan kepada kami untuk memanfaatkan dan menyalurkan sepenuhnya sumbangan itu kepada penerima yang layak," katanya.

Tambahnya, orang ramai yang ingin membantu mangsa banjir serta bencana lain boleh terus menyumbang kepada Tabung Bencana NSTP-Media Prima.

"Kami akan pastikan segala sumbangan yang disalurkan itu diagihkan dengan sebaik mungkin sekali gus meringankan beban penduduk yang terjejas," katanya.

Sementara itu, Pengarah JKM Terengganu, Zuhami Omar berkata, pihaknya berbesar hati apabila Media Prima tampil membantu menyediakan bantuan kit kebersihan itu.

"Dalam menghadapi bencana seperti banjir yang berlaku di Kemaman, Dungun dan Hulu Terengganu, pihak JKM memang memerlukan sumbangan seperti ini untuk diserahkan kepada mangsa.

"Bantuan kit kebersihan itu akan diserahkan kepada mangsa bencana di negeri ini secepat mungkin," katanya ketika ditemui selepas majlis Penyerahan Kit Kebersihan Tabung Bencana NSTP-Media Prima.

Turut hadir pada majlis itu Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat Media Prima Berhad Zasman Asna.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2021 @ 10:52 AM
PENGURUS Besar Jabatan Komunikasi Korporat Media Prima Berhad Zasman Asna (dua kiri) bersama Ahli Briged Sukarelawan Media Prima-NSTP memeriksa 700 kit kebersihan sebelum diserahkan kepada JKM Terengganu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
PENGURUS Besar Jabatan Komunikasi Korporat Media Prima Berhad Zasman Asna (dua kiri) bersama Ahli Briged Sukarelawan Media Prima-NSTP memeriksa 700 kit kebersihan sebelum diserahkan kepada JKM Terengganu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR