Ravale Savarinathan

TABUNG Bencana NSTP-Media Prima hari ini menyerahkan sumbangan kepada 117 keluarga membabitkan 393 mangsa banjir dari di Changkat Jong, Teluk Intan yang terjejas akibat bencana itu.

Sumbangan berupa barangan keperluan dapur, perkakas mencuci rumah dan makanan segera bernilai RM200 setiap satu dengan jumlah keseluruhan bantuan sebanyak RM23,400.

Bantuan disampaikan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jong, Mohamad Faizal Ismail di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Jong, hari ini.

Turut hadir, Ketua Penolong Pegawai Daerah Hilir Perak (Pembangunan) Nurul Afizal Zainal Abidin yang mewakili Pegawai Daerah Hilir Perak, Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superintenden Yahaya Hassan serta Ahli Bridged Sukarelawan Media Prima-NSTP, Muhammad Nadzrein Johari.

Rata-rata mangsa banjir yang ditemui menyambut baik usaha NSTP-Media Prima yang sudi tampil membantu dan meringankan beban yang dihadapi mangsa banjir.

Mira Ahmad, 30, dari Kampung Batu 7 ½, Changkat Jong melahirkan perasaan terharu di atas usaha murni Media Prima-NSTP serta orang ramai yang sama-sama prihatin membantu semua mangsa banjir.

“Saya amat terharu di atas sumbangan ikhlas NSTP-Media Prima yang sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban kami yang terkesan dengan musibah ini,” katanya selepas menerima bantuan berkenaan.

Bagi Rohani Ahmad, 64, dari Kampung Batu 7, bantuan yang di hulurkan NSTP-Media Prima amat tepat pada waktunya kerana pendapatan isi rumah untuk bulan lalu terjejas teruk akibat banjir.

“Kami amat gembira sekali di atas sumbangan ini kerana pendapatan kami dah terjejas teruk kerana sebahagian besar ahli keluarga kami hanya melakukan kerja kampung dan mengambil upah mengait buah kelapa sawit.

“Akibat banjir ini semua ahli keluarga tidak dapat keluar kerja kerana kebun ditengelami air, kami bersyukur kerana bantuan ini dapat meringankan beban kami,” katanya.

Sementara itu Nurul Afizal yang di temui pada majlis itu berkata, dua PPS iaitu di Dewan MPTI Langkap dan SK Dato’ Yahya Subban telah ditutup manakala PPS SK Changkat Jong masih menempatkan sebahagian mangsa banjir yang masih tidak dapat kembali ke rumah masing-masing kerana air banjir masih memenuhi rumah mereka.

Dalam pada itu, Yahaya berkata, pihaknya berpuas-hati di atas peranan yang dimainkan oleh anggota polis yang di tugaskan di semua ketiga-tiga PPS.

Katanya, setakat ini polis tidak menerima sebarang lapuran daripada mangsa banjir berhubung sebarang aktiviti jenayah di sepanjang tempoh bermula dari 18 Oktober lalu hingga ke hari ini.

“Ini menunjukkan bahawa kerjasama daripada semua pihak telah berjaya mengelak sebarang kejadian pecah rumah dan perlakuan yang tidak diingini,” katanya.

Gambar Muhaizan Yahya dan Ravale Savarinathan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 November 2019 @ 4:28 PM