PENDUDUK Kampung Orang Asli Batu Lapan menunjukkan baucar diterima.
PENDUDUK Kampung Orang Asli Batu Lapan menunjukkan baucar diterima.
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz dan Zul Ikhwan Muhammad

Rompin: Prihatin nasib menimpa 185 penduduk di sekitar daerah ini yang terjejas akibat banjir baru-baru ini, Media Prima Berhad (MPB) menyampaikan sumbangan menerusi Tabung Bencana NSTP-Media Prima kepada mangsa di Pejabat Daerah dan Tanah Rompin, semalam.

Penyampaian sumbangan itu dilakukan Ketua Komunikasi Korporat NSTP Wan Abdillah Wan Nawi dan Penolong Pegawai Daerah (Tanah) Rompin Noraliza Jalal.

Setiap keluarga menerima baucar tunai RM200 untuk membeli barangan keperluan di pasar raya berhampiran.

Penerima Saharidan Mat Jam, 39, dari Kampung Simpang Sepayang di sini, berkata, baucar diterima akan digunakan untuk membeli barang kelengkapan persekolahan anaknya yang ditenggelami air awal bulan ini.

Menurutnya, banjir yang melanda sehari sebelum persekolahan dibuka itu menyebabkan dia tidak sempat menyelamatkan baju serta kelengkapan sekolah anaknya.

“Lima daripada tujuh anak saya bersekolah dan ketika kejadian, saya hanya memikirkan cara untuk memindahkan mereka ke tempat selamat kerana air naik terlalu cepat hingga rumah ditenggelami hampir satu meter.

“Barang lain tidak sempat diselamatkan dan selepas banjir surut, anak saya ke sekolah menggunakan kelengkapan dan baju sekolah lama,” katanya.

Katanya, pemberian baucar itu meringankan bebannya membeli keperluan sekolah anak serta barangan lain.

Penerima Sharina Jantan, 40, berkata, dia berterima kasih kepada MPB atas penyampaian bantuan yang disifatkan tepat pada masa memandangkan dia perlu menggantikan beberapa kelengkapan rumah yang rosak.

“Saya bersyukur ada pihak prihatin dengan nasib kami dan sumbangan ini membantu kami membeli barang keperluan harian.

“Memang setiap tahun rumah saya dilanda banjir, namun tahun ini air naik mendadak hingga tidak sempat menyelamatkan barang penting,” katanya yang tinggal di Perkampungan Orang Asli Batu 8 di sini.

WAN Abdillah (kanan) bertanya khabar dengan mangsa banjir di PPS Endau.
WAN Abdillah (kanan) bertanya khabar dengan mangsa banjir di PPS Endau.

Di Mersing, 280 keluarga menerima bantuan disumbangkan Tabung Bencana NSTP-Media Prima dalam misi bantuan kepada mangsa banjir di Mersing, Johor dan Rompin, Pahang.

Misi yang disertai Briged Sukarelawan Media Prima-NSTP bersama Pejabat Daerah Mersing, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Mersing serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) itu diketuai Wan Abdillah.

Hadir sama, Penolong Pegawai Daerah Mersing Mohammad Izzuddin Ibrahim, Pegawai APM Mersing Kapten (PA) Nurnajibah Abdullah dan Pemangku Pegawai JKM Mersing Mohd Zamri Ismail.

Wan Abdillah berkata, penyerahan dibuat di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Endau, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tenglu, PPS Balai Raya Kampung Benaung, PPS Kampung Air Merah, PPS Sekolah Agama Pengakalan Batu dan PPS Balai Raya Taman Nahkoda 1.

“Penyerahan bantuan turut diberikan kepada mangsa banjir di Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Rompin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2018 @ 4:42 AM