EMPAT lelaki di tahan di dalam sebuah pondok dalam kebun getah di Kampung Atong, Jerangsang dipercayai mengedar dadah. FOTO Ihsan PDRM
EMPAT lelaki di tahan di dalam sebuah pondok dalam kebun getah di Kampung Atong, Jerangsang dipercayai mengedar dadah. FOTO Ihsan PDRM
Roselan Ab Malek

Lipis: Serbuan ke atas sebuah pondok dalam kebun getah yang dijadikan 'port' pengedaran dadah membawa kepada penahanan empat individu di Kampung Atong, Jerangsang, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Lipis Superintendan Azli Mohd Noor berkata, berdasarkan maklumat, pihaknya menyerbu pondok dipercayai menjadi lokasi menjual dadah pada 7 pagi.

Menurutnya, ketika pemeriksaan fizikal dibuat ke atas empat lelaki berusia 21 hingga 47 tahun yang ditahan di lokasi itu, polis tidak menjumpai apa-apa barang salah.

"Pemeriksaan lanjut di atas lantai dalam pondok menjumpai satu beg kecil berzip berwarna biru berisi 15 peket plastik lutsinar mengandungi dadah jenis heroin seberat 70.57 gram.

"Turut dijumpai dalam beg itu ialah 10 peket plastik lutsinar berisi dadah jenis syabu seberat 41.46 gram dan satu straw plastik berangkai yang mengandungi 18 biji pil berwarna kemerahan disyaki pil Yaba seberat 4.48 gram," katanya.

Azli berkata, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas berkenaan bernilai RM6,860 dan kesemua suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah berkaitan kes dadah.

Katanya, saringan ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif methamphetamine.

"Siasatan kes dibuat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A (2), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 7:12 PM